Memaparkan catatan dengan label Malaysian Army. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malaysian Army. Papar semua catatan

MalbaTT di SomaLia ~ Pertempuran MalbaTT di Mahkamah Agung Benadir

on 07 Februari 2011

Kisah pertempuran MalbaTT di Somalia yang saya ambil dari forum Panggilan Pertiwi..

Kisah ini turut   dipaparkan dibeberapa blog yang bercirikan ketenteraan. Apa pun yas tetap nak segarkan juga cerita ini,supaya kita tidak melupakan jasa2 tentera kita yg pernah berjuang utk negara tercinta ini. 

Cerita ini dipetik dari buku "Harimau Malaya di Somalia" yg merupakan kisah sebenar dari tentera kita yg pernah bertugas di sana.


Semoga memberi inspirasi kepada generasi sekarang dan akan datang. Ini adalah turutan dari kisah yang telah saya post sebelum ini, (Hakim markas UNOSOM dan wartawan) Sila lihat disini.




Lagi kisah di somalia.

Peristiwa Pertempuran Di Mahkamah Agung Benadir.


Majlis Pembukaan Mahkamah Agung Benazir pada 27 September 1993 menjadi satu peristiwa penting kepada proses damai di Somalia yang telah lama bergolak dengan perang saudara. Ia menandakan pemulihan semula sistem keadilan dan undang-undang. Namun begitu ada golongan yang tidak senang dengan kewujudan semula mahkamah dan cuba mengagalkan usaha murni UNOSOM II membawa kedamaian di negara itu.


Bagi kumpulan ini, penubuhan Mahkamah Agung itu adalah sebagai suatu usaha menafikan kuasa dan pengaruh kumpulan mereka keatas rakyat Somalia. Salah satu kumpulan tersebut termasuklah kumpulan yang di ketuai Jeneral Farah Aideed. 

Mereka merancang hendak menculik pegawai perundangan UNOSOM II yang menghadiri majlis pembukaan tersebut. UNOSOM II sedar tentang ancaman yang mungkin di hadapi telah mengarahkan pasukan pengaman dari Negara Ameriyah Arab Bersatu (UAE) membuat kawalan di sekitar kawasan mahkamah ketika majlis berlangsung.


Pasukan Pengaman Malaysia (Malaysia Batalion-MALBATT) pula di kehendaki membantu pasukan pengaman UAE membuat kawalan. Pasukan Pengaman Pakistan bertanggung jawab menjadi pengiring kepada Pegawai Perundangan UNOSOM II. Pembahagian tugas seperti ini adalah biasa di kalangan pasukan pengaman pelbagai negara. Mereka saling bekerjasama antara satu sama lain dalam memikul tanggungjawab berat memulihkan keamanan ke atas negara yang hampir musnah akibat persengketaan berlarutan hampir 3 tahun itu. 


Sehari sebelum majlis tersebut berlangsung, 26 September 1993. Jam menunjukkan pukul 9.00 malam. Mejar Abd Rashid bin Ahmad, Ketua Kompeni B masih di pejabatnya apabila dia di datangi timbalannya, Kapten Mohd Halim bin Khalid. 


"Assalamualaikum, Tuan!" kata Kapten Mohd Halim sambil memberi tabik hormat kepada Mejar Abd Rashid. Beliau menjawab salam dan mempersilakan Kapten Mohd Halim duduk. "Ada apa Mejar?" 
Tanya Kapten Mohd Halim. "Kompeni B di arahkan menghantar satu platun bagi membantu kawalan di Mahkamah esok" jawab Mejar Abd Rashid.

Kapten Mohd Halim teringat kepada arahan yang di terima sebelum itu dari Markas UNOSOM II meminta satu platun MALBATT bagi membantu pasukan UAE membuat kawalan esok. Di sebabkan komander pasukan MALBATT tiada, Leftenan Kolonel Mohd Rozi bin Baharom selaku Timbalan Komander telah mengarahkan Mejar Abd Rashid menyiapkan satu platun dari kompeni B untuk melaksanakan tugasan itu.

"Siapa yang akan pergi esok Tuan?" tanya Kapten Halim "Platun 5 " jawab LK M Rozi. "Tapi tuan, Ketua platun 5 sedang bercuti" Kapten Halim mengingatkan. "Ya saya tahu, sebab tu saya panggil awak.Saya dah arahkan Leftenan Salmi ambil alih platun 5, tapi memandangkan tugas ini penting saya nak awak ikut sekali esok." 


"Baik Tuan" dengan senang hati Kapten Halim menerima amanah yang diberikan. Di dalam hatinya sedikit bimbang juga kerana sejak akhir-akhir ini serangan ke atas pasukan pengaman makin menjadi-jadi. Walau pun Leftenan Salmi bin Istikh Ahmad masih baru dalam bidang mekanis tapi ini tidak bermakna beliau tidak mampu memimpin platun tersebut. Tetapi operasi esok walaupun hanya sebagai pasukan bantuan sangat penting sebab itu Kapten Halim ikut serta. 

Setelah selesai membincangkan tentang kelengkapan dan persediaan operasi Kapten Halim pun beredar. Lebih kurang pukul 6.30 pagi 27 September 1993, Kapten Halim dan Leftenan Salmi bersama 34 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) daripada Platun 5 bergerak dari Markas MALBATT yang terletak di Kem Lapangan Terbang ke kawasan Sea Port. Di situ Kapten Halim melapor diri kepada Pegawai Memerintah Batalion UAE iaitu Leftenan Kolonel Mal untuk diberikan taklimat operasi.
 "Kapten, saya mahu platun awak untuk buat kawalan di sekitar kawasan mahkamah. Pasukan UAE sudah berada di sana. Kawasan sekitar sudah di bersihkan oleh mereka" arah Leftenan Kolonel Mal.

Kapten Halim merasa kurang senang dengan arahan yang di terimanya yang berbeza dengan permintaan asal iaitu membantu pasukan UAE sekiranya berlaku sesuatu yang tidak di ingini. Sesuai dengan peranan Pasukan MALBATT sebagai Pasukan Tindakan Cepat (Quick Reaction Force-QRF). "Kalau begitu saya minta Leftenan Brand bersama saya bagi memudahkan perhubungan dan bantuan, sekiranya perlu" cadang Kapten Halim.


 Leftenan Brand adalah pegawai perhubungan udara Tentera Amerika. "Oh, tidak! Saya rasa Leftenan Brand lebih baik berada di sini. Dari sini lebih senang untuk selaraskan bantuan udara" sanggah Leftenan Kolonel Mal. Biarpun tidak setuju, Kapten Halim hanya mendiamkan diri kerana tak mahu mengeruhkan suasana. "Saya mahu awak kawal kawasan ini. Letakkan Armoured Personnel Carrier (APC) awak di sini, sini, sini dan di sini" perintah Leftenan Kolonel Mal sambil tangannya menunjuk-nunjuk di atas satu lakaran kawasan bangunan mahkamah. "Ada apa-apa soalan?" Tanya Leftenan Kolonel Mal. 
"Bagaimana saya hendak berhubung dengan pihak Tuan?" tanya Kapten Halim. "Gunakan gelombang ini" jawab Leftenan Kolonel Mal sambil menulis beberapa saluran gelombang yang boleh di hubungi. Senarai itu kemudian diserahkannya kepada Kapten Halim. 

Kapten Halim dan Platun 5 tiba ke kawasan mahkamah lebih kurang pukul 8.00 pagi. Masih ada tempoh sejam sebelum upacara perasmian bermula. Kapten Halim mengatur kereta perisainya di empat penjuru bangunan. Satu di setiap penjuru seperti yang dirancang. Dia kemudian membawa kereta perisainya ke dalam kawasan mahkamah. Bagi menguatkan lagi pertahanan pasukan MALBATT, Kapten Halim mengambil keputusan meletakkan 3 kumpulan penembak tepat (sniper) di atas bumbung mahkamah. Kedudukan yang lebih tinggi di atas bumbung memberi mereka pemandangan kawasan sekitar yang lebih baik. Setiap kumpulan mengandungi 2 orang anggota. 


Kumpulan 1 di anggotai oleh Koperal Halim dan Prebet Rosli. Mereka di bekalkan dengan Mesingan Pelbagai Guna dan Raifal M16 lengkap dengan Pelancar Grenad M203, juga sebuah Set Radio Komunikasi. 


Kumpulan 2 pula di anggotai Lans Koperal Ramli dan Prebet Zaini. Lans Koperal Ramli membawa Raifal M 16 manakala Prebet Zaini dibekalkan dengan Sub Mesingan HK MP5. Prebet Zaini mengambil kedudukan di penjuru berhampiran tangga manakala Lans Koperal Ramli jauh di belakang.

Kumpulan 3 pula terdiri daripada Lans Koperal Rosli dan Prebet Jamari. Kedudukan mereka di tepi tangga besi di luar bangunan. Mereka kemudian dibekalkan Radio Komunikasi bagi memudahkan perhubungan. Ketika menyusun Kumpulan Penembak Tepat, Kapten Halim tak bertemu dengan seorangpun Pasukan UAE di sekitar kawasan mahkamah seperti dakwaan Leftenan Kolonel Mal. 


"Jangan kata orang, bayangnya pun tak nampak" fikir Kapten Halim. Sebagai seorang pegawai yang berpengalaman, beliau mengambil tindakan proaktif. Bersama beberapa orang anggota, beliau memeriksa sendiri kawasan sekitar bagi memastikan ia benar-benar bebas dari sebarang ancaman berbahaya. Penduduk sekitar tidak menunjukkan apa-apa reaksi mencurigakan. Mereka menjalankan aktiviti harian seperti biasa, urusan jual beli sedang rancak berjalan dan kanak-kanak sedang bermain di tepi-tepi jalan. Kanak-kanak dan orang awam cuba berkomunikasi dengan anggota-anggota MALBATT. 

Permandangan biasa di mana saja mereka di tugaskan mereka di sambut dengan baik. Setelah pasti semuanya selamat dan pasukannya dalam kedudukan sepatutnya beliau menghubungi Leftenan Kolonel Mal mengunakan saluran gelombang yang di berikan. Tiada jawapan. Setelah beberapa kali beliau bertukar ke saluran kedua, pun tiada jawapan. Setelah semua gelombang yang di berikan Leftenan Kolonel Mal gagal di hubungi, Kapten Halim terpaksa menghubungi Markas MALBATT untuk melaporkan keadaan pasukan. Setelah itu dia pergi berjumpa pegawai awam mahkamah.
 "Pasukan saya sudah berada dalam kedudukan." beritahu Kapten Halim
 "Terima kasih, Tuan. Saya akan maklumkan" jawab pegawai itu.
"Pukul berapa upacara bermula?"..."Pukul 9.00 pagi."


 Jam menunjukkan pukul 10.00 pagi apabila 3 pegawai perundangan UNOSOM II tiba menaiki dua buah Land Rover awam di iringi dua buah APC Pasukan Pakistan. Mereka terdiri dari Micheal Aradika dari Ghana selaku ketua kumpulan serta dua orang lagi Jim Acally dan Kenneth Lain. 

Sebaik tiba mereka terus masuk ke dalam bangunan mahkamah untuk meneruskan upacara. Kapten Halim masih terus berhubung dengan Markas MALBATT. Beliau di beritahu sumber perisikan yang memperolehi laporan dari helikopter yang membuat tinjauan udara, terdapat pergerakan sekumpulan militia Somalia bersenjata mara ke kawasan Mahkamah Agung Benadir. Mengikut laporan itu lagi, di anggarkan kekuatan kumpulan militia itu antara 10 ke 15 orang. Sebaik menerima maklumat itu, kapten Halim terus menyalurkannya kepada anggota-anggota lain sambil memberi ingatan agar terus berwaspada. Upacara itu selesai pukul 11.00 pagi dan seramai 50 orang pegawai perundangan dan Hakim Somalia mula beredar meningalkan bangunan mahkamah. 


Tiga orang Pegawai Perundangan UNOSOM II tidak terus beredar tapi masih berbual-bual di perkarangan mahkamah. Menyedari bahaya yang kemungkinan berlaku sekiranya mereka di serang, Kapten Halim segera mendapatkan mereka dan menasihatkan mereka supaya beredar dengan segera.


"Tuan, saya rasa lebih baik tuan kembali ke kawasan penjara dengan segera. Kami mendapat laporan ada militia Somalia dalam perjalanan ke sini" Kapten Halim memberitahu dengan sopan. Ketiga-tiga Pegawai Perundangan UNOSOM II masih belum berganjak sebaliknya terus berbual-bual. Setelah menunggu seketika, Kapten Halim pergi mendapatkan mereka dan memberitahu sekali lagi supaya mereka kembali ke kawasan penjara. Kali ini dengan nada yang sedikit tegas. "Tuan, keadaan semakin bahaya, lebih baik beredar sekarang juga" tegur Kapten Halim. "Tak apa, suruh pasukan pengiring pergi dahulu. Tak payah tunggu kami" jawab Micheal Aradika. "Tak boleh tuan, mereka di arahkan untuk mengiringi tuan-tuan kembali ke kawasan penjara kalau terjadi apa-apa mereka akan di persalahkan" bantah Kapten Halim. Geram juga hatinya melihatkan kerenah mereka. Ketiga-tiga pegawai itu mula berbelah bahagi mengenai pasukan pengiring.

Mereka mula bertengkar sesama sendiri. Micheal beriya-iya tidak mahu mengunakan khidmat pasukan pengiring dari pasukan tentera Pakistan. Kapten Halim hanya memerhati gelagat mereka. Akhirnya mereka membuat keputusan agar Pasukan Pengiring Pakistan menunggu di penjara. Mereka akan pergi ke penjara dengan menaiki Pajero tanpa pengiring. Dari Penjara mereka akan di iringi ke Markas UNOSOM II. Kapten Halim terpaksa akur dengan keputusan mereka. Dia kemudian di minta untuk memandu Pasukan Pakistan ke Penjara kerana mereka tidak tahu jalan hendak ke sana. Kapten Halim terus keluar menemui Pasukan Pakistan untuk mengatur pergerakan. Pada masa yang sama, di luar orang awam Somalia yang tadinya ramai kini beransur-ansur kurang dan akhirnya terus hilang dari kawasan sekitarnya. "Ada yang tak kena ni" fikir Sarjan Sarizan. Dia terus memberitahu perubahan keadaan kepada anggota-anggota lain sambil mengingatkan mereka agar jangan leka dan terus berwaspada. Tiba-tiba dia di datangi oleh seorang pemuda Somalia yang menunjuk ke arah sebuah rumah. Di tingkat atas rumah tersebut kelihatan seorang wanita. Di sebabkan batasan komunikasi wanita itu cuba memberitahu sesuatu melalui isyarat tangan. Sarjan Sarizan faham wanita itu cuba memberitahunya sesuatu sedang berlaku di dalam rumahnya. 

Dengan penuh berhati-hati Sarjan Sarizan cuba merapati dinding rumah itu. Baru sampai ke tangga, BAM! BAM! Dua das tembakan di lepaskan dari tingkat atas rumah itu. Serentak dengan itu tembakan bertubi-tubi seperti bertih goreng kedengaran dari pelbagai arah. Sarjan Sarizan terus berlari mendapatkan perlindungan di dalam kereta perisainya. Dia terus membalas tembakan dari dalam kereta perisainya. Lans Koperal Ramli yang berada di atas bangunan mendengar tembakan yang di lepaskan dan tembakan balas APCMALBATT dari arah hadapan bangunaan. 


Ketika itu juga terdengar bunyi riuh rendah suara orang di bahagian belakang bangunan. Beliau mengangkat kepala untuk melihat dari belakang tembok dan dia mendapati ada tujuh Militia Somalia di situ. Dia mengangkat senjata dan menenang untuk menembak mereka. Ketika baru hendak menarik picu senjatanya, BAM!BAM!BAM! tembakan bertubi-tubi dari bangunan sebelah. Nasib baik Militia Somalia kebanyakan tidak terlatih, tembakan itu mengenai tembok batu tempat beliau berlindung. Beliau mengangkat kepala sekali lagi untuk membalas tembakan, tapi sekali lagi dia di hujani dengan tembakan bertubi-tubi. Beberapa kali dia cuba membalas tembakan tetapi setiap kali itulah dia menjadi tumpuan tembakan. Dia berubah kedudukan dengan merangkak ke bucu sebelah kiri bangunan. 

Tetap sama dia menjadi tumpuan tembakan bertubi-tubi militia Somalia. Sahlah! Dia sedang di perhati dan di awasi oleh penembak hendap Militia Somalia. Kapten Halim yang sedang berbincang dengan ketua pasukan Pengiring Pakistan apabila mendengar bunyi tembakan Mesingan dan Pelancar Roket Granade 7 (Rocket Propelled Granade 7-RPG 7). Dia terus berlari mendapatkan Kereta Perisainya. Dari dalam Kereta Perisainya berhubung dengan anggota melalui radio komunikasi untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Mereka melaporkan belum dapat melihat arah kemaraan musuh dan tembakan dilepaskan dari pelbagai arah. 


Kumpulan Penembak Tepat juga melaporkan mereka tidak dapat memastikan arah kemaraan musuh kerana menjadi sasaran tembakan penembak hendap Militia Somalia. Menyedari Kumpulan Penembak Tepat menjadi sasaran tembakan bertubi-tubi Militia Somalia menyebabkan mereka sukar memainkan peranan dengan berkesan, Kapten Halim mengarahkan mereka segera turun ke bawah. Kumpulan 1 yang di anggotai Koperal Halim dan Prebet Rosli berjaya turun setelah pertempuran berlangsung beberapa minit. Mereka kemudian menaiki APC3 dan membalas tembakan dari dalam kenderaan. APC2 melaporkan kepada Kapten Halim pergerakan segerombolan Militia dari arah laut menuju ke mahkamah. 

Tembakan di lepaskan secara membabi-buta dari celah-celah tingkap dan lubang-lubang di dinding ke arah mahkamah (Rumah dan bangunan di Somalia banyak yang berlubang bekas tembusan peluru hasil perang saudara yang berlarutan). Kapten Halim mengarahkan anggotanya membalas tembakan ke arah musuh dan tidak menembak secara melulu demi menjaga keselamatan orang awam yang tinggal di kawasan sekitar. Walaupun di hujani peluru, pasukan MALBATT masih dalam pertimbangan Kapten Halim membawa kereta perisainya masuk ke dalam perkarangan Mahkamah mencari tiga orang pegawai perundangan UNOSOM II yang kini sudah terperangkap di dalam bangunan mahkamah. Di dalam bangunan beliau menemui mereka di dalam sebuah bilik bersama beberapa pegawai perundangan Somalia. Pegawai Somalia itu berjanji akan menjaga ketiga-tiga pegawai UNOSOM II yang kini mula tergambar perasaan cemas di muka masing-masing. Kapten Halim kemudian bergegas pula pergi mendapatkan Kereta Perisainya untuk menyampaikan laporan terkini kepada Markas MALBATT. 

Beliau berulang-alik beberapa kali dari kereta perisainya ke dalam bangunan mahkamah kerana pegawai UNOSOM II yang ketakutan memintanya bersama-sama menemani mereka. Tembakan Militia Somalia terus menembak dengan mengunakan mesingan, senjata ringan, RPG 7 dan bom tangan. Anggota MALBATT mempertahankan kedudukan mereka dengan membalas tembakan dan membaling bom tangan ke arah Militia Somalia. Setelah bertempur dengan sengit selama lebih kurang sejam, Kapten Halim kemudiannya memdapat tahu salah seorang Pegawai perundangan Somalia cuba berhubung dan berunding dengan kumpulan Militia. Pegawai Somalia itu memberitahu sekiranya pasukan MALBATT menghentikan tembakan mereka juga akan berhenti menembak. Kapten Halim segera mengarahkan anggotanya menghentikan tembakan, tetapi Militia Somalia masih terus-menerus melepaskan tembakan. Kapten Halim mengarahkan anggotanya membalas kembali tembakan. Pegawai Somalia tersebut kemudian memberitahu Kapten Halim pihak Militia Somalia mahukan ketiga-tiga pegawai UNOSOM II sebagai tebusan barulah mereka berundur. Kapten Halim berasa tercabar dengan permintaan pihak Militia Somalia. Dia tidak akan sekali-kali menyerahkan pegawai UNOSOM II sebagai tebusan. 

Ini prinsip yang di junjung tentera darat dalam Sumpah Kesatria. Tidak sekali-kali mengenal menyerah. Biar putih tulang jangan putih mata. Dengan sikap pantang menyerah sebelum bertarung, permintaan Militia Aideed tersebut ditolak mentah-mentah. Permintaan tersebut dijawab dengan tembakan berterusan oleh Kapten Halim dan anggotanya.


Menyedari keadaan yang semakin merbahaya dan genting Kapten Halim mengambil keputusan untuk berundur segera. Beliau menghubungi Leftenan Salmi, "Salmi, beritahu Ketua Pengiring Tentera Pakistan masuk ke dalam perkarangan mahkamah sekarang. Ambil Pegawai UNOSOM dan berundur ke penjara" perintah Kapten Halim.


"Tuan, Pasukan Pakistan dah cabut" Jawab Leftenan Salmi.  "Bilaaa?!!" Tanya Kapten Halim terkejut. "Masa mula-mula pertempuran lagi Tuan" balas Leftenan Salmi. Kini mahu tak mahu keselamatan pegawai-pegawai UNOSOM II menjadi tanggungjawab beliau. Beliau dengan berani menggerakkan APC menghampiri bangunan mahkamah bagi menyelamatkan para pegawai UNOSOM II yang sedang terperangkap di bangunan tersebut. Tanpa berlengah lagi, semua pegawai UNOSOM II di arahkan masuk ke dalam Kereta Perisainya. 

Pegawai-pegawai itu yang pada mulanya banyak kerenah kini umpama lembu di cucuk hidung, mengikut sahaja arahan yang di berikan. Ketika pegawai UNOSOM II sedang berlari menuju ke kenderaannya, Kapten Mohd. Halim dengan tidak menghiraukan keselamatan diri terjun dari kenderaannya sambil melepaskan tembakan balas secara bertubi-tubi ke arah Militia Aideed bagi memberi perlindungan rapat kepada para pegawai UNOSOM II. Dua Kumpulan Penembak Tepat masih di atas bangunan. Kapten Halim mengarahkan mereka turun dengan mengunakan pembesar suara. 


Lans Koperal Rosli yang mendengar arahan itu berlari secara taktikal bersama rakannya Prebet Jamari menuju ke tangga. Bagai manapun mereka menghadapi kesukaran untuk turun kerana menjadi sasaran tembakan setiap kali menghampiri tangga. Sebagai ketua pasukan Kapten Halim mesti memastikan kesemua mereka dapat turun sebelum berundur. Kapten Halim bergerak ke bawah tangga besi sambil memanggil anggotanya turun. Walaupun tindakan beraninya mengundang bahaya menjadi sasaran tembakan Militia Somalia dia terpaksa berbuat demikian kerana dia tiada pilihan lain untuk menyelamatkan anggotanya. Lans Koperal Rosli dan Prebet Jamari mengelunsur turun melalui tangga besi. Mereka kemudian di bawa menaiki APCKapten Halim. 

Kapten Halim seterusnya pergi mendapatkan Lans Koperal Ramli. Lans Koperal Ramli sebaik mendengar arahan untuk turun dari pembesar suara terus bergerak ke arah tangga. Tetapi itu bukanlah mudah, di samping tembakan bertalu-talu dia terpaksa merangkak dan melompat dengan cepat dari satu tembok ke tembok yang lain.Tujuh tembok semuanya. Setiap tembok setinggi dua kaki. Tembok terakhir adalah yang paling lama untuk di lintasi kerana Militia menumpukan tembakan ke situ. Akhirnya setelah bersusah payah dan mengadai nyawanya dia berjaya merapati tangga besi. 


Prebet Zaini telah tiada di situ. Mungkin telah turun sebaik menerima arahan. Lans Koperal Ramli menghulurkan senjata sebagai menjawab panggilan Kapten Halim di bawah. Dia tidak mahu menyahut kerana masih menjadi sasaran Militia Somalia.Dia kemudian mendengar Kapten Halim menyuruhnya turun sambil berhati-hati kerana mereka akan berundur. Bagi memudahkannya turun Lans Koperal Ramli menyilangkan tali sliang senjata ke belakang dan turun dengan memeluk tiang tangga lalu mengelungsur ke bawah. Di bawah dia di sambut oleh Kapten Halim dan dibawa masuk ke dalam Kereta Perisainya. 

Apabila semua anggotanya telah selamat Kapten Halim pun mengarahkan Pasukannya berundur di bawah hujan peluru, RPG 7 dan bom tangan pihak Militia Somalia. Tayar salah sebuah nombor ZA 9360 bocor terkena serpihan bom tangan tetapi masih boleh bergerak. Kerana tindakan berani Kapten Mohd. Halim, usaha hendak membantutkan proses keamanan yang dirancang melalui satu tindakan nekad oleh puak Militia Aideed telah dapat digagalkan. 


Setelah bertempur hebat dengan Militia Aideed beliau akhirnya pulang bersama anggota dan para pegawai UNOSOM II dengan selamat ke pangkalan. Mereka sampai ke Markas MALBATT lebih kurang pukul 1.00 tengah hari. Ketiga-tiga pegawai UNOSOM II dibawa Kapten Halim ke Bilik Gerakan MALBATT bertemu Leftenan Kolonel Rozi. Ketiga mereka yang masih terkejut dan berpeluh-peluh bertanya kepada Leftenan Kolonel Rozi "Er..Siapa Komander pasukan ini?" tanya salah seorang dari mereka dengan nada yang gementar "Kolonel Latif, dia tak ada di sini dan saya timbalannya" jawab Leftenan Kolonel Rozi. 


Ketika itu Kapten Halim pergi berjumpa dengan anak buahnya di samping memeriksa keadaan kenderaan dan peralatan yang di gunakan untuk membuat laporan nanti. Dia bersyukur kerana tanggungjawab melindungi Pegawai UNOSOM II berjaya di laksanakan tanpa ada seorang pun anak buahnya yang terkorban atau tercedera. "Kami ucapkan terima kasih banyak-banyak. Tak tahu macamana apa cakap. Kalau tak ada pasukan MALBATT tak tahu apa yang terjadi." Kata salah seorang dari pegawai UNOSOM kepada Leftenan Kolonel Rozi. "Siapa nama Kapten tadi?" tanya yang lain pula "Kapten Mohd Halim"  balas Leftenan Kolonel Rozi. "Ya, dia patut di berikan pingat atas keberaniannya." 

"Kami nak beri dia pingat, atau awak patut bagi kepadanya?" cadang yang lain. "Baiklah, baiklah, kami akan sampaikan cerita ini ke Mindef (Kementerian Pertahanan Malaysia), mereka akan tentukan siapa yang layak dapat pingat akan menerimanya" kata Leftenan Kolonel Rozi. 


Sebenarnya tak payah di beritahu memang itulah yang akan di buatnya. Dia tumpang bangga dengan pencapaian yang di tunjukkan oleh anak buahnya. Sejak itu nama pasukan MALBATT makin harum di kalangan pasukan pengaman dan rakyat Somalia. Mereka memuji dan menghormati MALBATT sebagai satu pasukan tentera yang tangkas, berani dan profesional. Tindakan berani serta semangat taat setia yang sedia tertanam dijiwa Perwira RAMD ini telah mendapat pujian tidak hanya daripada para pegawai kehakiman terbabit malah turut mendapat pujian daripada para pegawai lain yang berkhidmat dengan UNOSOM II. 


Menurut para pegawai kehakiman terbabit mereka tidak hanya terhutang budi malah berhutang nyawa kepada Kapten Mohd. Halim. Jasa beliau tidak mungkin dapat dilupai hingga ke akhir hayat mereka. Inilah kata-kata yang sungguh bermakna dan secara langsung turut menaikkan imej negara" 

 Siri Patriot: "Harimau Malaysia di Somalia"

pic di stadium markas Pakistan slps menyelamatkan US Ranger









Terimakasih/kredit kpd forum PanggilanPertiwi/Hari ini dalam sejarah dan kpd kuk kerana post entri ini.
Tag :

MalBaTT di SomaLia.. dari kisah seorang sniper!!

on 27 Januari 2011


MalBaTT di SomaLia.. dari kisah seorang sniper!!


Ini ada satu lagi peristiwa tentera kita yang terkorban di Somalia. Rata-rata forumers tak pernah bercerita tentang dua anggota tentera kita yang terkorban. Mereka adalah Alahyarham Ssgt Azman dan mendiang  Lkpl Ganie.  Konvoi mereka diserang hendap pada 18 July 1994. 
Detik-detik cerita adalah begini.

Pada 17/7/94 jam selepas isyak, Ssjn Azman baru beli camera dari PX  tentera asing lalu memanggil kami semua untuk bergambar. Selesai bergambar beliau berkata esok nak berjalan jauh. Berjalan jauh itu bermaksud ada misi sulit untuk mengambil source di RV 
dan terus ke airport dan selesai hantar source ke RV berlainan. 

Tim kami pada masa itu bertugas bi bahagian U2 iaitu Unit Risik dan keselamatan UNOSOM. Selesai bergambar Sjn Zaidi ada mengajak saya untuk ikut sekali konvoi mereka kalau mahu. 

Saya terpaksa menolak kerana pada hari kejadian Tim sniper deploy ke hide kami di K4 berdekatan pasar Bakara. Jadi yang pergi pada esok harinya adalah PWII Mohamad, Ssjn Azman,Sjn Zaidi, Kpl Ahmad, Lkpl Ganie dan ada berberapa lagi anggota yang saya tak ingat nama mereka.

Pada jam 0400hrs tim saya bergerak ke kawasan hide kami saya ambil kedudukan di atas kilang sabun empat tingkat. Saya dan spotter saya Hasmizi Lonjong pun buat pemerhatian terperinci dan kasar. ROE sasaran kami adalah Militia yang membawa RPG, senjata peluru berantai dan pengendali Teknikal (4X4 yang ada mounted HMG).

Dari pagi hingga petang tak ada rezeki. Pada petang itu ada NGO dapat memintas channel freq radio saya dan memberitahu ada tentera asing diserang hendap dan ada 2 kia termasuk wia. Kesemua mereka ditahan oleh Militia. Bila dia sebut tentera asing saya tak endahkan. Selang 20 minit saluran radio saya menjadi sibuk, kesemua panggilan dari markas Malbatt.

Mereka memberi arahan untuk standby untuk pergi bertempur di pasar Bakara. Saya tanya pasal apa dan mereka beritahu konvoi kita kena ambush. Tersentak saya kerana berita yang saya terima dari NGO tu kawan saya. 

Apa yang saya diberitahu kita punya Gen. Aboo Samah sudah warning Gen. Farah Aidid kalau tak bagi tentera kita yang cedera dan yang mati bakara market akan hancur sekali lagi. Tempohnya pukul 2359hrs. 

Lebihkurang jam 2330hrs saya diarahkan turun ke RV untuk pergi ke kawasandimana anggota tentera kita yang kena ambush akan di serah. Saya diberitahu oleh kawan-kawan saya bahawa di Markas Malbatt satu battalion kita tengah standby untuk bertempur. 

Tempat serahan dari RV tak jauh, ada militia tunggu dengan senjata AK47 mengarahkan kami ikut mereka dengan senjata ditinggalkan Sampai lighter Zippo saya pun disuruh tinggal. Katanya senjata boleh membakar. Apabila sampai ke lokasi, saya tengok ada 2 mayat diatas tilam nipis dan yang cedera hanya dirawat dengan balutan kain lusuh sahaja. Ketua Militia Kol. Abdullahi meminta maaf dan mengatakan bukan kumpulan beliau punya angkara. Kami seramai sepuluh anggota pun mengangkat mayat dan yang cedera ke markas UN di KM4. 

Sesampai di sana saya pun memeriksa anggota yang tercedera yang parah iaitu Sjn. Zaidi. Dua biji peluru AK47 menembusi ponggong beliau. Saya dan anggota Medic Kpl ??? pun cuba tengok bahagian depan badan Sjn Zaidi peluru tak tembus dan darah memancut keluar. Anggota medic pun apa lagi cucuk morhpin. Selang berberapa minit Sjn Zaidi menangis terisak-isak lalu saya bertanya mengapa sjn? Dalam khayal beliau beritahu "diorang tembak Ganie hidup-hidup!!". 

Dia orang kepung Ganie minta serah senjata tapi Ganie melawan dan yang dibelakang terus tembak pointblank dari arah belakang kepala 3 das dan bersepai muka Ganie. Yang cedera ada seorang tentera Italy yang ikut konvoi berkenaan. Selesai saya beri bantuan pada yang cedera saya pun pergi ke mayat Ssjn Azman dan saya tengok tangan nya ada kesan tembakan. 

Saya pun terpikir tak kan luka tangan boleh mati.  Saya terus tanggalkan helmet kevlar beliau barulah saya tengok kesan lubang peluru di atas dahi beliau. Rupanya sniper somali tembak tepat. 

Tembakan pertama kena tangan, ubah tenangan bull dahi. Saya pun keluar sekejap untuk ambil angin. Sedang saya berdiri ada seorang budak India (Nama tak ingat) junior banyak dari saya memeluk saya sambil menangis terisak-isak sambil berkata "Bang diorang dah bunuh kawan kita". 

Apabila anggota lain melihat gelagat Budak India ni ramai yang menangis. Dimasa yang sama saya lihat Kapt. Rizan (sekarang Kol) pergi belakang bangunan dan menangis. saya pun memujuk dia dengan mengatakan dah ajal mereka. 

Pada kesokan harinya kami bergerak balik ke Markas. Pada hari untuk menghantar Jenazah pulang ke Malaysia satu perbarisan terdiri dari semua tentera yang bertugas di Somalia diadakan. Apabila Keranda Diusung naik Kapalterbang saya tengok barisan kontijen Malbatt bergerak-gerak, mengapa? 

Rupanya sambil salute mereka menangis. Dihati saya pun berdetik, bagi kaum wanita yang menjadi tentera pernah berkata 'apa yang lelaki boleh buat kami pun boleh buat'. Mustahil, kami ni yang hardcore pun menangis apatah lagi mereka kaum hawa. 

Kejadian tersebut terjadi kerana kesilapan tentera kita kerana didalam pelajaran apabila kita pergi dengan route yang dah dikenalpasti apabila pulang mesti laluan yang lain. Tetapi kerana dah ajal, pada hari kejadian mereka pulang ikut jalan yang sama.

Ok lah saya pun dah nak ke KL ni ada kerja mungkin dilain masa saya cerita pertempuran di Wilayah Afgooye pula. 

P.S Semasa saya mengungkap kembali peristiwa ini saya menangis terkenangkan kawan yang terkorban.




Sniper Malaysia di Somalia

* Kisah ini diambil dari Forum PanggilanPertiwi . Kredit/setinggi2 terima kasih saya kepada sniper gunung yang sudi mencoretkan secebis pengalaman beliau semasa bertugas di Somalia. Rasa terharu dan bangga dengan pengorbanan yang dilakukan mereka.
Semoga menjadi tauladan kepada generasi sekarang dan akan datang.....
Tag :

MaLBaTT di SomaLia..Pengalaman seorang pemandu APC

on 23 Januari 2011

Entri asal ini disalin dari Azhar6249sWebLog

 Mungkin,anda pernah membaca artikel ini...mungkin juga anda juga tidak pernah membacanya..Apa yang penting disini ialah semangat keperwiraan yang dipaparkan oleh SSjn Sulaiman bin Barry dan sahabat2nya apabila keadaan sangat2 memerlukan khidmat mereka.

Pengalaman yang sangat tinggi nilainya buat 19RAMD mekanise....

Semoga ianya bermanafaat kepada pembaca2 yang lain. Entri ini adalah lanjutan kepada  19RAMD mekanise yang pernah saya paparkan sebelum ini. 


PENGENALAN

1.   Pertempuran di Pasar Bakara Market, Mogadishu Somalia telah menjadi satu titik di dalam diari penglibatan Tentera Darat di dalam misi PBB khususnya 19 RAMD Mekanis. Walaupun kelengkapan tempur serba kekurangan pertempuran pada 03 dan 04 oktober 1993 di tengah-tengah Kota Mogadishu itu benar-benar memberikan satu pengalaman peperangan baru kepada 11 Pegawai dan 103 Lain-lain Pangkat secara langsung dan keseluruhan Pegawai anggota MALBAT I, UNOSOM II Somalia.

2.   Kejayaan pasukan MALBAT membantu pasukan tentera Amerika adalah suatu perkara yang diluar dugaan dan sangat membanggakan. Pengiktirafan dari negara Amerika dan lain-lain negara telah berjaya menbuktikan kebolehan anggota Tentera Darat Malaysia di mata antarabangsa.

SKOP

  1. Pendahuluan.
  2. Pengalaman sebelum operasi menyelamat.
  3. Pengalaman semasa operasi menyelamat.
  4. Pandangan dari sudut seorang crewman.

PENDAHULUAN
     
3.   Pengumuman kerajaan Malaysia menyertai kumpulan Pengaman Bangsa-bangsa Bersatu  di Somalia UNSOM II dan seterusnya memberi mandat kepada Tentera Darat untuk memilih pasukan yang terbaik dan bersesuaian memikul tanggungjawab tugasan tersebut. Pasukan 19 RAMD Mekanis berpengkalan di Sungai Petani dipilih memikul dan menerima tanggungjawab yang diamanahkan kepada seluruh warga pasukan itu. Rasa syukur dan hormat semangat keperwiraan pasukan menerima tangungjawab tersebut dan berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh Tentera Darat khususnya kerajaan Malaysia dengan tidak merasa sangsi keupayaan Pasukan 19 RAMD Mekanis bagi menjalankan tugas yang diberikan. Pemilihan Pasukan 19 RAMD tersebut bukanlah dianggap satu masalah pada warga pasukan, malahan ianya satu kejayaan dan dihormati oleh pasukan-pasukan tempur lainnya.

PENGALAMAN SEBELUM OPERASI MENYELAMAT

4.   Saya 1082037 Sarjan  Sulaiman bin Barry  mula berkhidmat dalam tentera 22 Feb 1990. Setelah tamat menjalani latihan di Pusat Latihan Rekrut Port Dickson saya telah ditempatkan untuk bertugas ke Batalion 19 RAMD Mekanis berpangkalan di Sungai Petani Kedah. Saya berasal dari Masjid Tanah Melaka, mempunyai lima adik beradik taraf pendidikan SAP. Setelah tamat menjalani kursus Memandu dan Senggaraan kelas II A bermulah kerjaya saya sebagai anggota pemandu kenderaan A di dalam Kompeni C, banyak latihan dan pengalaman dapat saya pelajari sebagai pemandu kenderaan A. Apabila 19 RAMD diberi kepercayaan menjalankan tugas di bawah PBB.

5. Saya merasa teruja apabila turut diberi peluang dan kepercayaan terpilih bersama pasukan19 RAMD bertugas di Somalia didalam Kompeni A dibawah perintah Mejar  Abd Aziz bin Abd Latif dan berada didalam Platun 3 yang diketuai Leftenan Muda Juraimi bin Ariffin. Kegembiraan dan peluang ini tidak mahu saya elakkan untuk berkhidmat bersama-sama pasukan tentera pengaman dari negara lain, pengalaman yang bakal diperolehi ini cukup bererti yang tidak akan saya lupakan. Bagaimana pun keresahan tetap ada, walaupun sebelum menyertai pengaman saya dan rakan-rakan sentiasa menjalani latihan sebagai persiapan.

6.   Terfikir juga adakah saya mampu menjalankan tugas di sana untuk menghadapi pelbagai risiko samada bentuk muka bumi, pergaulan, keranah masyarakat setempat, tugas dan tanggungjawab.Pergolakan dan situasi yang berlaku di antara kaum disana tidaklah penting untuk difikirkan kerana telah sedia dimaklumkan. Setelah diberi kata nasihat dan peransang keyakinan juga semangat mula meninggi, peluang yang diberi mesti direbut mungkin ianya tidak berulang lagi. Pada 30 Jun 1993 jam 2100H seramai 204 anggota kumpulan besar pertama termasuk saya berlepas dari Pangkalan TUDM Butterworth menaiki sebanyak tiga kali C130.

7.   Dalam perjalanan masing-masing bagaikan terkedu untuk berkata menanyakan soalan, memikir dan memberi jawapannya sendiri amat meletihkan. Setelah berhenti beberapa destinasi akhir kami sampai ruang udara negara bergolak Somalia dan berlegar-legar seketika di Bandar Mogadishu yang amat daif seperti kawasan baru untuk dibangunkan angkara peperangan bagaikan terkena kejutan elektrik masing-masing memikir ada yang dapat merumuskan sendiri.

8.   1 Julai 1993 melangkahkan kaki di bumi Somalia dengan semangat bercampur kegerunan walau disambut oleh kumpulan kecil pertama seolah tiada perkara berat untuk difikirkan dan dengan sendirinya kami menonton upacara menghantar pulang tentera yang tidak bernasib baik. Ada di antara kami dapat menerima kenyataan ini dan bersedia dengan ketentuannya dan ada yang sebaliknya. Apa yang berlaku adalah asam garam dalam tentera, keyakinan dan keazaman tidak akan luntur.

9.   Secara rasminya bermulalah tugas saya sebagai pemandu kenderaan A tempur RPZ serang hendap di kawasan yang sama cuma waktu yang berbeza, kami di tembak dicelah-celah bangunan Misi Pengaman dan membuat rondaan yang dinamakan ‘Outskirt’ sekitar Mogadishu  siang dan malam dalam jangkamasa 10 jam. Tiap-tiap rondaan selama dua jam, lima kali sehari melibatkan tiga platun dalam satu Kompeni.Tugas pertama selamat
dilaksanakan walaupun di awal rondaan melibatkan platun satu mengalami sedikit masalah semasa mejalankan tugas.

10. Sebelah malamnya adalah satu tugas yang tidak akan saya lupakan di mana kami tidak dibenarkan memandu mengunakan cahaya lampu kerana mengambil kira aspek keselamatan. Walaupun telah dilatih kami belum dapat menyesuaikan diri, di sinilah bermula kerjasama krewmen antara Ketua Kereta dan pemandu. Kerisauan mula melanda kerana peranan Ketua Kereta dan pemandu tidak berfungsi dengan baik, sungguh pun dibekalkan alat pandangan malam. Terbukti kami menggunakan peralatan moden tetapi penyesuai dan penggendalian yang terhad telah mencacatkan dan boleh mengurangkan keyakinan menjalankan tugas.

11. Akhirnya kami tidak mengunakan bantuan pandang malam sebaliknya menggunakan pengalaman memandu malam untuk menyesuaikan keadaan. Detik mencabar menduga mental dan fizikal bermula apabila kami meronda kawasan kawalan pasukan Pakistan, secara tiba-tiba kawasan itu diserang secara tidak langsung kami bagaikan kehilangan arah didalam kegelapan malam mencari tempat perlindungan sebalik bangunan namun keselamatan tetap tidak memberi jaminan.  Serangan itu tertumpu pada pos kawalan pasukan Pakistan bagaimana pun tempias tidak dapat dielakan.

12. Keesokan harinya kawasan yang sama ribuan manusia menjalankan aktiviti harian meskipun kami nampak beberapa orang bersenjata, kami tidak melatah malahan bersedia menghadapi apa pun risikonya. Akhirnya letupan tembakan berlaku dikesibukan orang ramai keadaan yang sangat teruja ketika itu seolah-olah tidak memberi ruang untuk membuat keputusan membalas atau terus memecut, seakan  telah mendapat arahan ketika itu kami membalas tembakan tersebut tanpa merasa ragu-ragu. Saya memandu kenderaan kedua jelas nampak apa yang berlaku seakan sesuatu yang tidak kena dan kami terus memberi tentangan.

13. Saya berpendapat dan memaklumkan kepada Ketua Platun memberhentikan tembakan dan keluar dari kawasan tersebut kerana saya membayangkan platun di dalam keadaan terlalu terdedah dan kealpaan membalas tembakan dengan membabi-buta kami terdedah kepada kecekapan militan mengunakan senjata anti kereta kebal. Saya cukup gembira walaupun sebagai seorang pemandu kenderaan, Ketua Platun sependapat dengan saya lalu Ketua Platun mengarahkan meninggalkan kawasan tersebut.

     PENGALAMAN SEMASA OPERASI MENYELAMAT

14. Dengan keyakinan dan kesungguhan yang di tonjolkan oleh MALBAT misi bantuan keamanan telah bertukar menjadi penguatkuasaan, ianya satu cabaran pada kami pada awalnya menjadi pertikaian antara kami. Ini terbukti apabila MALBAT secara langsung terlibat operasi penggeledahan pertama bernama ‘TARGET FISH’ di kawasan perumahan. Sebelum memulakan pergerakan kami telah diberi taklimat oleh Ketua Kompeni dan Ketua Platun terhadap tugas masing-masing. Saya dari Platun No 3 Kompeni A diarahkan membuat kepongan dan pengawasan.

15. Nada bunyi mudah untuk dilaksanakan, hakikatnya kesukaran yang dialami kerana terpaksa melayan kerenah masyarakat setempat yang segelintirnya tidak menyenangi kedatangan kami dan ada juga yang membantu bagi memudahkan pekerjaan kami. Namun ianya merupakan kejayaan yang besar buat MALBAT  berjaya merampas beberapa senjata dan bahan letupan. Keupayaan dan kesungguhan MALBAT menjalankan tugas dan tanggungjawab itu membuka mata PBB dan kepercayaan diberi dengan banyak lagi operasi-operasi yang dilaksanakan.

16. Saya merasakan sepanjang menjalankan tugas sesingkat ini dengan berbagai pahit maung sebagai seorang pemandu APC banyak pengalaman yang dapat membantu saya sebagai seorang tentera yang cukup berilmu, bersemangat dan berani. Sememangnya tidak akan saya lupakan penglibatan MALBAT pertempuran di Pasar Bakara Market yang menempuh berbagai situasi. Pada 3 Oktober 1993 1 Kompeni Renjer Tentera Amerika telah menjalankan operasi bersendirian dan telah terkepung, keadaan seakan tidak memihak kepada tentera Amerika.

17. Situasi tersebut meletakkan MALBAT di dalam keadaan siap sedia untuk membantu. 2 Kompeni dari  MALBAT telah diarahkan bergerak dan berkumpul di New Port. Di sana saya dan rakan-rakan sabar menunggu arahan dan rancangan yang akan diberi. Kemuncaknya tiba juga apabila kami mendapat arahan hanya melibatkan anggota crewmen sahaja tidak kepada anggota seksyen MALBAT, malah membawa pula tentera dari Amerika. Saya masih merasa terpinga-pinga dan tidak memahami apa yang akan berlaku seterusnya.

18. Akhirnya saya mendapat arahan untuk bergerak walaupun sebelum itu telah diberi taklimat ringkas oleh Ketua Platun tetapi persoalan pada diri kami masih belum mendapat jawapan. Pergerakan kami bermula agak perlahan di dahului oleh dua buah kereta kebal Pakistan dan 2 Kompeni MALBAT yang hanya mengikut, kepada pengiring hanya menanti episod yang akan belaku. Sepanjang pergerakan, kami disambut dengan tembakan dari senjata kecil pihak militia Somali sehinggalah keadaan sudah tidak terkawal, bermula dari semangat yang berani menjadi semakin luntur.

19. Ketakutan dan keresahan tidak bertahan lama sebaliknya kami merasakan menerima semangat baru apabila tentangan yang diberi dapat disaingi walaupun kelengkapan persenjataan pihak lawan lebih baik. Rancangan dan arahan juga kesetiaan kami tonjolkan dapat menyaingi lawan dengan pergerakan yang teratur. Anehnya masyarakat sekeliling merasakan tidak ada apa yang berlaku mereka tetap bersahaja mengonggong puntung rokok. Keadaan makin rancak dan sempat menyaksikan pengendalian senjata belakang kenderaan hadapan berbalas siulan berapi, akhirnya mengalah mendapat sedikit kecederaan, bagaimanapun tentera Amerika datang membantu. Semangat bagaikan disentap apabila mengetahui kemalangan dialami pasukan, bagaimanapun hanya untuk sementara semangat melawan tetap membara.

20. Semangat dan keberanian saya semakin teruja apabila Platun 3 yang diketuai oleh Leftenan Muda Juraimi bin Ariffin diarahkan terus kehadapan unuk mengambil dan menyelamat tentera Amerika. Kebuntuan timbul apabila kami tidak diberitahu lokasi, seolah bergerak menjadi satu umpan kepada pihak lawan. Sangkaan saya tetap betul, kami ditembak bertalu-talu berbagai arah, sebagai seorang pemandu berpengalaman tanpa diarah kami sepantas kilat berpusing untuk berundur.

21. Bagaimanapun Platun 3 diarah kembali menjalankan misi menyelamat setelah kedudukan pasukan Amerika dapat dipastikan.  Seakan tidak peduli risiko yang akan dialami kami memecut laju kearah yang ditujui dan sepantas yang boleh kami bergerak berundur. Kepantasan dan kecekapan kami tersekat apabila kenderaan beberapa kali gagal untuk bergerak, saya mula merasakan sesuatu yang tidak kena apatah lagi tentera amerika mengharapkan perkara yang baik berlaku.

22. Hari semakin cerah tembakan tak henti-henti bagaikan mendapat rahmat saya mengetahui kesilapannya secara tidak sedar kenderaan panduan saya telah melebihi muatan dan bergerak mendaki bukit tidak sesuai untuk pergerakan awal kenderaan dengan gear 3 seperti lazim dengan memasuki gear yang paling rendah, saya berjaya memandu ke kawasan selamat.

23. Apa yang merasakan saya berbangga dan megah tidak putu-putus, saya mendapat pujian dari rakan dari Amerika berjaya membawa mereka dengan selamat. Kejayaan dan merasa bangga tidak boleh dinafikan penglibatan MALBAT khususnya saya salah seorang penyumbang kegemilangan.dan kepercayaan yang diberi oleh Tentera darat juga kerajaan Malaysia tidak dipersiakan malah kegagahan tentera kita membuka mata dunia.
   
      PANDANGAN DARI SUDUT SEORANG CREWMAN

24. Setelah apa yang berlaku dan dilalui juga pengalaman yang diperolehi banyak membantu.untuk meningkatkan tahap professionalisma tentera kita. Meskipun kita tidak meletakkan kepercayaan sepenuhnya, pengunaan kenderaan A seperti kelengkapan, keupayaan  tetapi dengan berbekalkan disiplin, pengalaman mengendalikan, kepantasan dan berfikiran tajam menonjolkan keupayaan kenderaan tersebut. Pada hakikatnya kita mengetahui kebolehan sebenar.

25. Sememangnya kita mengetahui kelengkapan kenderaan tempur tidak mempunyai pengunaan alat pandang malam terutama APC RPZ Condor 4 x 4 menjadi masalah yang besar. Penggunaan peralatan yang tidak bersesuaian boleh menganggu tumpuan penggendalian dan perlaksanaan tugas iaitu pemandu mengunakan alat pandang malam anggota tempur. Keduanya kita tidak dilatih secukupnya mengendali dan mengunakan peralatan itu, pelaksanaan tugasan malam seperti pemerhatian menampakkan kegagalan. Kesesuaian kenderaan dengan bentuk muka bumi haruslah diambil kira, kita tidak boleh beranggapan boleh pakai sahaja.

26. Seharusnya kenderaan itu mestilah ditingkatkan keupayaannya selaras memikul tugas yang besar, ketahanan dan kemampuan kenderaan menghadapi apa jua keadaan cuaca dan bentuk muka bumi. Pertukaran alat ganti kenderaan turut membebankan ini membolehkan kelicinan rancangan terganggu. Keperluan kenderaan tempur simpanan sememangnya perlu sebagai menampung keperluan operasi. Ciri-ciri keselamatan tiada seperti laser amaran perlu ada.

27. Sistem persenjataan pada kenderaan tempur sememangnya amat jauh ketinggalan apalah ada pada twin 7.62mm lebih banyak digunakan sebagai membalas sahutan tembakan musuh yang mengunakan senjata berkaliber lebih besar, kekurangan dan penggunaan terhad senjata 20mm Orlinkon (AKK) ternyata gagal menyaingi kehabatan musuh. Tugas penguatkuasaan seperti rondaan boleh mengundang kemalangan kerana kawasan yang terhad perlu diawasi memakan masa yang lama, ini amat meletihkan tumpuan pemanduan menjadi tidak konsisten.

28. Bagaimanapun pentingnya adalah arahan, rancangan dan keserasian antara crewman tersebut. Taklimat harus diberi dengan betul dan mudah difahami, ini membolehkan pemandu dan Ketua Kereta memikir dan merancang apa yang bakal berlaku. Seharusnya bantuan tembakan dari Kereta Kebal dapat membantu memusnahkan sasaran atau halangan  sebagai pengiring hadapan. Penggunaan senjata Anti Kereta Kebal (AKK) ringan amatlah penting pada operasi-operasi FIBUA keberkesanan amatlah baik. 

PENUTUP

29. Dalam pertempuran yang berlaku selama lima jam itu, anggota MALBAT mengalami seorang kehilangan jiwa dan sepuluh anggota tercedera (termasuk 4 cedera parah). Angka terkorban dan kecederaan telah membuktikan bahawa kita cukup terlatih, berdisplin dan sentiasa bersedia di mana saja digerakkan walaupun bergabung dengan tentera asing. Ini juga membuktikan kemampuan Tentera Darat. Kita mempunyai kekuatan mental, fizikal dan siap siaga yang baik terkenal di mata antarabangsa.

Esei ini dari pengalaman seorang pemandu APC Condor SSjn Sulaiman bin Barry PJK, yang terlibat secara langsung pertempuran BAKARA Market pada 13 Okt 1993.  




Terima kasih juga kpd: PanggilanPertiwi
Tag :
 
© Yastro.net All Rights Reserved