Dibawah ini adalah satu pandangan dari beberapa orang mahasiswa di negara kita. Sebenarnya aku juga bersetuju juga dengan dia orang tentang isu ini. Menyelesaikan isu agama bukanlah dengan menuding jari kemana2 pihak ataupun mengharapkan hanya satu pihak sahaja untuk menyelesaikannya. Duduk, berbincang secara terbuka adalah lebih baik dan pastinya mendapat perhatian dari ramai pihak termasuk yang bukan beragama Islam. Apapun terpulang kepada anda semua untuk menilai sendiri tentang isu ini. Salam Jumaat buat semua...adiozzz!!
Berdasarkan statistik bagi tahun 2000 hingga 2010, Malaysiakini melaporkan jumlah permohonan orang Islam untuk murtad adalah 686, manakala permohonan diluluskan ialah 135 orang. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) akan mengadakan program seperti kaunseling, kelas agama dan bantuan baitulmal untuk saudara baru bagi membendung isu murtad ini.
Namun timbul persoalan, mungkinkah isu murtad ini dapat diredakan melalui kaunseling, kelas agama dan bantuan baitulmal yang hanya difokuskan kepada saudara baru? Bagaimana pula dengan pendedahan tentang kefahaman Islam dalam kalangan umat Islam itu sendiri? Melihat kepada situasi ini, kami sebagai mahasiswa berpendapat, langkah lebih berkesan perlu diambil untuk mengatasi masalah ini supaya dapat menerapkan kefahaman Islam sebenar dan mengukuhkan akidah umat Islam. Sudah tiba masanya isu agama ini dibincangkan secara terbuka dalam masyarakat.
Bagi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia, dialog antara agama merupakan jalan bijak untuk menangani isu dianggap sensitif ini. Justeru, kami mencadangkan dialog antara agama ini dibawa ke kaca televisyen supaya inti patinya dapat disampaikan kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini. Oleh yang demikian, jelaslah perbahasan agama ini perlu diadakan, sebagai contoh negara yang berfahaman komunis, Rusia bakal melancarkan satu saluran televisyen Islam bertujuan menggalakkan toleransi agama selepas ibu negaranya menyaksikan beberapa pertempuran berdarah sejak kejatuhan Kesatuan Soviet. Langkah kerajaan Rusia ini menggembirakan seluruh umat Islam di sana dengan harapan dapat memupuk semangat toleransi beragama.
Justeru, dialog antara agama adalah pendekatan terbaik dan merupakan tuntutan masa kini di Malaysia. Dialog seperti ini dapat mencari titik temu untuk mewujudkan persefahaman yang boleh diterima setiap agama. Bagi orang Islam itu sendiri, dialog ini adalah platform memperbetulkan salah faham yang wujud terhadap agama Islam, selain menepis segala dakwaan tidak benar. Segala maklumat dan fakta yang sahih dapat disalurkan. Program dialog antara agama ini sebenarnya kerap diadakan di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia. Namun, kami berasa penganjuran dialog seperti ini perlu disebar luas dalam kalangan masyarakat setempat, iaitu melalui siaran televisyen. Media elektronik merupakan alternatif saluran bagi menyampaikan atau membentangkan perbahasan antara agama secara terbuka.
Buku Enhancing The Understanding of Islam for the Media tulisan Anuar Ab Razak dan Abu Bakar Abdul Majeed, menekankan, televisyen sangat penting sebagai wadah memperbetulkan prejudis dan gambaran buruk mengenai Islam ciptaan Barat, orientalis dan musuh Islam yang tidak bersikap adil dengan umat Islam. Maka, seandainya dialog antara agama ini dapat disiarkan melalui televisyen, sudah pasti pemikiran rakyat dapat dicorak dengan ilmu dan perkongsian yang bermanfaat. Rakyat dapat membuat perbandingan dan penilaian secara tidak langsung mendorong mereka untuk mengkaji agama dengan lebih mendalam. Ia juga dapat membangkitkan rasa menghormati agama lain dan lebih menghargai agama sendiri.
Firman ALLAH SWT dalam Surah An-Nahl ayat 125 bermaksud, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-NYA dan DIA lah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” Jelaslah bahawa Islam menggalakkan dialog dalam suasana harmoni dan baik. Di samping itu, penonton dapat berbincang atau berfikir secara intelektual tanpa rasa marah, sensitif dan emosi yang melampau.
# Syafinaz Zainuddin, Madihah Baharudin, Nur Rizwana Ishak, Siti Nazimah Daud (Pelajar Jurusan Bahasa Arab dan Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia)
Sumber - Sinar Harian.com