“Hidup biar mulia, mati biar syahid” - Umar Mukhtar @ Omar Al-Mokhtar /Singa Padang Pasir
Entri ini adalah sambungan dari entri awal aku "Umar Mukhtar"
Tangan dan kaki Pahlawan Islam ini dirantai oleh penjajah Itali... |
Saat penghujung hidup seorang Pahlawan/pejuang... |
Secebis Kisah seorang Pahlawan Islam, Umar Mukhtar @ Omar Mokhtar - Lion Of Desert
Lelaki yang bertubuh sasa, tegap dan gagah perkasa yang telah ditelan usia itu melangkah longlai tenang menuju ke tiang gantung. Kedua belah tangannya terbelenggu di belakang. Dirantai dan dikat rapi agar tidak terlepas dari kawalan. Namun mata belaiu masih tetap bersinar seperti menaruh keyakinan terhadap masa depan negara dan rakyatnya. Raut mukanya juga tidak menampakkan rasa gentar atau takut menghadapi suasana kematian. Beliau begitu gagah walaupun maut sedang menantinya hanya dalam beberapa saat sahaja lagi. Beliau tersenyum mengimbau kembali peristiwa-peristiwa yang beliau telah lalui sehingga dia ditangkap dan dihukum ke tali gantung.
Pengorbanannya terhadap negaranya yang tercinta. Seolah telah berpuas hati apa yang beliau telah lakukan selama ini. Beliau redha jalan yang dipilihnya sendiri. Sebentar tadi ketika beliau dibenarkan bersolat Subuh, beliau sujud begitu lama sehingga darah yang menyelinap ke seluruh anggotanya terasa kebas-kebas, belaiu mengadu dan berdoa ke hadrat Allah s.w.t. supaya Allah mengampuni segala dosa-dosanya selama ini dan memohon kepadaNya supaya negara dan rakyatnya bebas dari belenggu penjajahan. Beliau telah bersedia menemui penciptanya sekarang.
Suasana hening di pagi yang sejuk menikam kalbu, kedengaran tangis dan esak yang sayu menyelubungi orang-orang yang berada di sekelilingnya. Mereka menatap wajah dan tubuh seorang lelaki yang berusia 70 tahun [ada yang kata 80 tahun] itu dengan wajah yang muram. Air mata masing-masing tidak dapat ditahan, luruh bagaikan mutiara berguguran. Bagi mereka yang berada di sekitar kawasan penjara dan di tempat-tempat lain, mereka turut merasainya, mereka semuanya sedar bahawa sudah sampai ketika dan waktunya beliau akan menjalani hukuman gantung sampai mati pada pagi itu. Beritanya tersebar ke seluruh pelusuk negara. Masing-masing mengangkat tangan menadah ke langit memohon keampunan dari Allah Maha Besar dan memberi darjat yang tinggi kepada beliau dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang solehin dan para-anbiya.
Setelah beberapa saat berlalu, suasana pagi yang hening kesejukan pagi itu dipecahkan dengan jerit pekik tangis bersahut-sahutan ketika mereka melihat lingkaran tali tiang gantung menjerut leher pahlawan mereka, Omar Al-Mukhtar. Al Fatihah...Singa Padang Pasir itu telah kembali kepada penciptanya pada 16 September 1931 di Kota Solouq. Gugur beliau sebagai seorang pejuang, pejuang kepada negara,bangsa dan agama. Selesai sudah perjuangan beliau melawan penjajahan Itali, tetapi perjuangannya itu akan tetap diteruskan oleh anak watan yang lain. Walaupun jihadnya berakhir di tali gantung, namun roh jihadnya tidak mati, malah perjuangannya telah membangkitkan inspirasi kepada tokoh pemimpin Islam yang lain sehingga melahirkan singa padang pasir yang baru seperti Ramadan al-Swaihli, Mohammad Farhat al-Zawi, al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman al-Barouni dan Silima al-Nailiah. Selepas dihukum gantung, Umar Mukhtar yang dianggap simbol pembebasan dan jihad Libya dengan segera telah dikebumikan di Ben-Ghazi.
Omar Al-Mukhtar memang dipandang sebagai simbol kepahlawanan menentang penjajahan Itali bagi rakyat Libya. Sejak Itali mulai mencengkam di negara tersebut pada Oktober 1911. Ia telah menjadi perintis mencetuskan semangat rakyat Libya menyalakan bara perjuangan rakyat menentang penjajahan Itali.
Syahid di Tiang Gantung
Gelora perjuangannya juga menambat hati rakyat Libya lainnya dan berjaya melahirkan ramai para mujahid seperti Ramadan As-Swaihli, Mohammad Farhat Az-Zawi, Al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman Al-Barouni dan Silima An-Nailiah. Usaha Itali menguasai Libya dilakukan dengan menyerang dan menguasai kota-kota di sebelah pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna secara berturut-turut, satu demi satu jatuh ke tangan penjajah Itali. Meski pun demikian, Omar kerap kali menjadi batu halangan kepada mereka. Ia mampu membangkitkan semangat perjuangan rakyat Libya menentang Itali dengan semangat perjuangan yang kental.
Perjuangan mereka telah menciptakan beberapa pertempuran yang hebat. Misalnya pertempuran yang terjadi di Al-Hani dekat Tripoli pada 23 Oktober 1911, Ar-Rmaila dekat Misrata, Al-Fwaihat dekat Benghazi pada Mac 1912 dan Wadi Ash-Shwaer dekat Derna. Dalam 20 tahun terakhir hidupnya, beliau telah memimpin dan berjuang didalam 1000 peperangan.
Perjuangan rakyat Libya menghasilkan kejayaan yang cemerlang-gemilang. Pejuang-pejuang pimpinan Omar al Mokhtar pernah terlibat dalam pertempuran besar di Al-Gherthabiya, dekat Sirt pada bulan April 1915. Itali kehilangan ribuan tentera di dalam pertempuran itu. Pertempuran-pertempuran seperti ini sering berlaku lalu membuatkan penjajah Itali terpaksa membalas serangan yang memakan masa yang panjang, tahun demi tahun untuk menguasai negara ini.
Akhirnya, wilayah-wilayah yang dipertahankan oleh para mujahidin jatuh juga ke tangan penjajah. Jatuhnya wilayah demi wilayah membuat para pejuang meninggalkan rumah, keluarga dan menuju ke pegunungan. Mereka tidak pernah berdiam diri, malah terus merancang pelbagai strategi untuk menyerang balas.
Pada tahun 1922 Omar telah membentuk satu kumpulan para mujahidin dan menggegarkan kembali operasi perjuangan menentang penjajahan Itali ke atas negaranya. Belaiu telah mengumpulkan kembali mujahidin di The Green Mountain (Aj-Jabal Al-Akdar), bahagian Tenggara Libya. Perkara ini terjadi setelah tamatnya Perang Dunia pertama dan pada masa itu penjajah Itali terfikir bahawa mereka mampu untuk membenamkan sepenuhnya perjuangan rakyat Libya. Jangkaan Itali ternyata silap.
Perjuangan yang tercetus kembali itu membuat pihak berkuasa Itali merasakan mereka berada dalam suasana yang amat tertekan, bahang bahaya tiba-tiba datang dan sering mengancam keselamatan mereka. Mereka tidak mahu membiarkan perjuangan menuntut kebebasan ini semakin merebak. Lalu pemerintah Pusat Itali, Badolio yang terkenal dengan kekejamannya yang sering kehausan darah rakyat Libya untuk diratahnya telah mengambil tindakan ketenteraan untuk merendam bara perjuangan tersebut.
Badolio bukan sahaja ditugas untuk menumpaskan Omar Al-Mukhtar dan pasukannya. Bahkan ia juga diberikan keizinan untuk membunuh rakyat Libya yang memberi sokongan dan membantu para mujahidin di mana jua mereka berada.
Tidak beberapa lama kemudian diktator Itali yang terkenal, Musolini telah mengirim seorang komandan tentera yang berperilaku lebih zalim daripada Badolio. Dia mengambil alih tugas Badolio dan membentuk satu pasukan tugas khas untuk menumpaskan gerakan yang diketuai oleh Omar dan bertindak membunuh lebih ramai rakyat Libya yang tidak berdosa. Komandan yang dihantar oleh Musolini ini pada fikirannya boleh menyelesaikan masalah Libya secara langsung adalah Rodolfo Grasiani. Malah kabinet Musolini telah dimaklumkan bahawa kedatangan khas Grasiani akan membuat suasana di Libya dapat dikawal sepenuhnya. Lion Of Desert@ Umar Mukhtar, akhirnya jatuh juga ditangan pemimpin tentera Itali yang kejam ini dalam pertempuran Slonta pada 11 September 1931.
Lion of Desert, merupakan sebuah filem yang mengisahkan kisah hebat pahlawan Islam ini. Seperti komen Pak Mail, watak Omar Al Mokhtar dilakonkan oleh Anthony Quin. Aku pernah juga menonton filem ini ditv satu ketika dahulu. Tapi, rasanya sudah terlalu lama. Wajar bagiku pihak2 yang berkenaan kembali memaparkan kisah pejuang Islam tersebut. Semoga kita semua mendapat iktibar dengan kisah2 pejuang Islam yang satu ketika dahulu berjuang kerana Allah bukannya seperti sekarang [bukan semua, tapi kebanyakanya], berjuang kerana harta dan dunia. Aminn.
-Yahoo Group, m.rosli Awang
- ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com
-halaqah.net
-wikipedia
-tokoh1038.blogspot.com
Segala info telah diedit oleh yastro. Umar Mukhtar @ Omar Al-Mokhtar - Singa Padang Pasir
Dinar Libya yang memaparkan gambar Umar Mukhtar |
Sebuah tugu didirikan berhampiran gua persembunyian Umar Mukhtar |
Lahir
Lahir- 1858 di sebuah perkampungan kecil di Janzour berdekatan dengan Tobruk, Barqa [Cyrenaica], Libya. Tetapi ada juga yang mengatakan beliau lahir pada tahun 1862 dan merupakan putera kepada Mukhtar bin Umar dan Aiesha binti Muhareb. Dia berasal daripada suku Boray dan Al Manfah.- wikipedia mengatakan beliau lahir pada 1862.
Keturunan
Berketurunan daripada keluarga farhat iaitu salah satu daripada puak al-Minifiyah yang mengamalkan aliran sufi al-Sanusiyah yang berpusat di Cyrenaica, iaitu di bahagian timur Libya. Keluarganya sangat kuat berpegang kepada amalan sufi al-Sanusiyah sehingga berjaya mempengaruhi sikap dan keperibadian beliau menjadi seorang yang warak dan terpuji akhlaknya.
Pendidikan
Pendidikan awal Umar al-Mukhtar hanyalah di sebuah sekolah pondok di Zanzur. Pada tahun 1887, setelah mendapat galakan daripada keluarganya, minat Umar al-Mukhtar untuk mendalami ilmunya mula bertambah. Beliau kemudiannya menyambung pelajarannya di Universiti Jaghbub iaitu ibu kota Libya ketika itu dan memilih bidang agama yang bersesuaian dengan nalurinya. Ada yang mengatakan beliau belajar di Institut Pengajian Tinggi dalam bidang Sains Islam selama 8 tahun disana.
Kemudian beliau berhijrah bersama gurunya ke kawasan padang pasir Kufra pada tahun 1895. Dua tahun kemudian, setelah berjaya menamatkan hafalan al-Quran dan pengajian agamanya Umar al-Mukhtar telah dilantik menjadi pengetua sekolah al-Zawiyah al-Qusur di Jabal al-Ahdar iaitu di bahagian Tenggara Libya. Kebolehan dan keistimewaan yang ada pada beliau telah menyebabkan beliau dijemput oleh Muhammad al-Mahdi dan dilantik menjadi pengetua di sebuah sekolah di Sudan. Di sini beliau telah menimba pengalaman pertama dalam bidang ketenteraan apabila turut serta dalam peperangan ketika menentang tentera Perancis. Pada tahun 1321/1903 beliau kembali semula ke Libya untuk mentadbir sekolah al-Zawiyah al-Qusur sehingga tahun 1921
Pejuang yang disegani lawan
Pegawai tentera yang menyoal siasat beliau berkata, “Apabila beliau tiba sampai ke pejabat saya, beliau kelihatan seperti seorang daripada beribu murabiteen yang saya lihat di medan perang padang pasir. Tangan beliau dirantai. Tulangnya patah akibat perang tetapi beliau memaksa dirinya berjalan dalam keadaan derita kesakitan. Beliau tidak seperti tawanan lain yang biasa ditangkap sebelum ini. Beliau berdiri di dalam pejabat saya dan menjawab segala soalan yang kami kemukakan dengan suara yang tenang dan jelas. Apabila beliau mahu mula beredar, tampak mukanya yang kelihatan bercahaya membuat saya terpegun dan terkejut. Terketar bicara saya di akhir perbualan kami semasa saya mengarah beliau kembali ke sel penjaranya sebelum upacara pengadilan di mahkamah pada sebelah petangnya.”
Perkataan Terakhir
"Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un." - Itulah perkataan terakhir yang beliau ucapkan sebelum beliau digantung didepan rakyat Libya yang lain. Al Fatihah.....
Umar Mukhtar@Omar Mokhtar |