Kisah ini turut dipaparkan dibeberapa blog yang bercirikan ketenteraan. Apa pun yas tetap nak segarkan juga cerita ini,supaya kita tidak melupakan jasa2 tentera kita yg pernah berjuang utk negara tercinta ini.
Cerita ini dipetik dari buku "Harimau Malaya di Somalia" yg merupakan kisah sebenar dari tentera kita yg pernah bertugas di sana.
Semoga memberi inspirasi kepada generasi sekarang dan akan datang. Ini adalah turutan dari kisah yang telah saya post sebelum ini, (Hakim markas UNOSOM dan wartawan) Sila lihat disini.
Lagi kisah di somalia.
Peristiwa Pertempuran Di Mahkamah Agung Benadir.
Majlis Pembukaan Mahkamah Agung Benazir pada 27 September 1993 menjadi satu peristiwa penting kepada proses damai di Somalia yang telah lama bergolak dengan perang saudara. Ia menandakan pemulihan semula sistem keadilan dan undang-undang. Namun begitu ada golongan yang tidak senang dengan kewujudan semula mahkamah dan cuba mengagalkan usaha murni UNOSOM II membawa kedamaian di negara itu.
Bagi kumpulan ini, penubuhan Mahkamah Agung itu adalah sebagai suatu usaha menafikan kuasa dan pengaruh kumpulan mereka keatas rakyat Somalia. Salah satu kumpulan tersebut termasuklah kumpulan yang di ketuai Jeneral Farah Aideed.
Mereka merancang hendak menculik pegawai perundangan UNOSOM II yang menghadiri majlis pembukaan tersebut. UNOSOM II sedar tentang ancaman yang mungkin di hadapi telah mengarahkan pasukan pengaman dari Negara Ameriyah Arab Bersatu (UAE) membuat kawalan di sekitar kawasan mahkamah ketika majlis berlangsung.
Pasukan Pengaman Malaysia (Malaysia Batalion-MALBATT) pula di kehendaki membantu pasukan pengaman UAE membuat kawalan. Pasukan Pengaman Pakistan bertanggung jawab menjadi pengiring kepada Pegawai Perundangan UNOSOM II. Pembahagian tugas seperti ini adalah biasa di kalangan pasukan pengaman pelbagai negara. Mereka saling bekerjasama antara satu sama lain dalam memikul tanggungjawab berat memulihkan keamanan ke atas negara yang hampir musnah akibat persengketaan berlarutan hampir 3 tahun itu.
Sehari sebelum majlis tersebut berlangsung, 26 September 1993. Jam menunjukkan pukul 9.00 malam. Mejar Abd Rashid bin Ahmad, Ketua Kompeni B masih di pejabatnya apabila dia di datangi timbalannya, Kapten Mohd Halim bin Khalid.
"Assalamualaikum, Tuan!" kata Kapten Mohd Halim sambil memberi tabik hormat kepada Mejar Abd Rashid. Beliau menjawab salam dan mempersilakan Kapten Mohd Halim duduk. "Ada apa Mejar?"
Tanya Kapten Mohd Halim. "Kompeni B di arahkan menghantar satu platun bagi membantu kawalan di Mahkamah esok" jawab Mejar Abd Rashid.
Kapten Mohd Halim teringat kepada arahan yang di terima sebelum itu dari Markas UNOSOM II meminta satu platun MALBATT bagi membantu pasukan UAE membuat kawalan esok. Di sebabkan komander pasukan MALBATT tiada, Leftenan Kolonel Mohd Rozi bin Baharom selaku Timbalan Komander telah mengarahkan Mejar Abd Rashid menyiapkan satu platun dari kompeni B untuk melaksanakan tugasan itu.
"Siapa yang akan pergi esok Tuan?" tanya Kapten Halim "Platun 5 " jawab LK M Rozi. "Tapi tuan, Ketua platun 5 sedang bercuti" Kapten Halim mengingatkan. "Ya saya tahu, sebab tu saya panggil awak.Saya dah arahkan Leftenan Salmi ambil alih platun 5, tapi memandangkan tugas ini penting saya nak awak ikut sekali esok."
"Baik Tuan" dengan senang hati Kapten Halim menerima amanah yang diberikan. Di dalam hatinya sedikit bimbang juga kerana sejak akhir-akhir ini serangan ke atas pasukan pengaman makin menjadi-jadi. Walau pun Leftenan Salmi bin Istikh Ahmad masih baru dalam bidang mekanis tapi ini tidak bermakna beliau tidak mampu memimpin platun tersebut. Tetapi operasi esok walaupun hanya sebagai pasukan bantuan sangat penting sebab itu Kapten Halim ikut serta.
Setelah selesai membincangkan tentang kelengkapan dan persediaan operasi Kapten Halim pun beredar. Lebih kurang pukul 6.30 pagi 27 September 1993, Kapten Halim dan Leftenan Salmi bersama 34 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) daripada Platun 5 bergerak dari Markas MALBATT yang terletak di Kem Lapangan Terbang ke kawasan Sea Port. Di situ Kapten Halim melapor diri kepada Pegawai Memerintah Batalion UAE iaitu Leftenan Kolonel Mal untuk diberikan taklimat operasi.
"Kapten, saya mahu platun awak untuk buat kawalan di sekitar kawasan mahkamah. Pasukan UAE sudah berada di sana. Kawasan sekitar sudah di bersihkan oleh mereka" arah Leftenan Kolonel Mal.
Kapten Halim merasa kurang senang dengan arahan yang di terimanya yang berbeza dengan permintaan asal iaitu membantu pasukan UAE sekiranya berlaku sesuatu yang tidak di ingini. Sesuai dengan peranan Pasukan MALBATT sebagai Pasukan Tindakan Cepat (Quick Reaction Force-QRF). "Kalau begitu saya minta Leftenan Brand bersama saya bagi memudahkan perhubungan dan bantuan, sekiranya perlu" cadang Kapten Halim.
Leftenan Brand adalah pegawai perhubungan udara Tentera Amerika. "Oh, tidak! Saya rasa Leftenan Brand lebih baik berada di sini. Dari sini lebih senang untuk selaraskan bantuan udara" sanggah Leftenan Kolonel Mal. Biarpun tidak setuju, Kapten Halim hanya mendiamkan diri kerana tak mahu mengeruhkan suasana. "Saya mahu awak kawal kawasan ini. Letakkan Armoured Personnel Carrier (APC) awak di sini, sini, sini dan di sini" perintah Leftenan Kolonel Mal sambil tangannya menunjuk-nunjuk di atas satu lakaran kawasan bangunan mahkamah. "Ada apa-apa soalan?" Tanya Leftenan Kolonel Mal.
"Bagaimana saya hendak berhubung dengan pihak Tuan?" tanya Kapten Halim. "Gunakan gelombang ini" jawab Leftenan Kolonel Mal sambil menulis beberapa saluran gelombang yang boleh di hubungi. Senarai itu kemudian diserahkannya kepada Kapten Halim.
Kapten Halim dan Platun 5 tiba ke kawasan mahkamah lebih kurang pukul 8.00 pagi. Masih ada tempoh sejam sebelum upacara perasmian bermula. Kapten Halim mengatur kereta perisainya di empat penjuru bangunan. Satu di setiap penjuru seperti yang dirancang. Dia kemudian membawa kereta perisainya ke dalam kawasan mahkamah. Bagi menguatkan lagi pertahanan pasukan MALBATT, Kapten Halim mengambil keputusan meletakkan 3 kumpulan penembak tepat (sniper) di atas bumbung mahkamah. Kedudukan yang lebih tinggi di atas bumbung memberi mereka pemandangan kawasan sekitar yang lebih baik. Setiap kumpulan mengandungi 2 orang anggota.
Kumpulan 1 di anggotai oleh Koperal Halim dan Prebet Rosli. Mereka di bekalkan dengan Mesingan Pelbagai Guna dan Raifal M16 lengkap dengan Pelancar Grenad M203, juga sebuah Set Radio Komunikasi.
Kumpulan 2 pula di anggotai Lans Koperal Ramli dan Prebet Zaini. Lans Koperal Ramli membawa Raifal M 16 manakala Prebet Zaini dibekalkan dengan Sub Mesingan HK MP5. Prebet Zaini mengambil kedudukan di penjuru berhampiran tangga manakala Lans Koperal Ramli jauh di belakang.
Kumpulan 3 pula terdiri daripada Lans Koperal Rosli dan Prebet Jamari. Kedudukan mereka di tepi tangga besi di luar bangunan. Mereka kemudian dibekalkan Radio Komunikasi bagi memudahkan perhubungan. Ketika menyusun Kumpulan Penembak Tepat, Kapten Halim tak bertemu dengan seorangpun Pasukan UAE di sekitar kawasan mahkamah seperti dakwaan Leftenan Kolonel Mal.
"Jangan kata orang, bayangnya pun tak nampak" fikir Kapten Halim. Sebagai seorang pegawai yang berpengalaman, beliau mengambil tindakan proaktif. Bersama beberapa orang anggota, beliau memeriksa sendiri kawasan sekitar bagi memastikan ia benar-benar bebas dari sebarang ancaman berbahaya. Penduduk sekitar tidak menunjukkan apa-apa reaksi mencurigakan. Mereka menjalankan aktiviti harian seperti biasa, urusan jual beli sedang rancak berjalan dan kanak-kanak sedang bermain di tepi-tepi jalan. Kanak-kanak dan orang awam cuba berkomunikasi dengan anggota-anggota MALBATT.
Permandangan biasa di mana saja mereka di tugaskan mereka di sambut dengan baik. Setelah pasti semuanya selamat dan pasukannya dalam kedudukan sepatutnya beliau menghubungi Leftenan Kolonel Mal mengunakan saluran gelombang yang di berikan. Tiada jawapan. Setelah beberapa kali beliau bertukar ke saluran kedua, pun tiada jawapan. Setelah semua gelombang yang di berikan Leftenan Kolonel Mal gagal di hubungi, Kapten Halim terpaksa menghubungi Markas MALBATT untuk melaporkan keadaan pasukan. Setelah itu dia pergi berjumpa pegawai awam mahkamah.
"Pasukan saya sudah berada dalam kedudukan." beritahu Kapten Halim
"Terima kasih, Tuan. Saya akan maklumkan" jawab pegawai itu.
"Pukul berapa upacara bermula?"..."Pukul 9.00 pagi."
Jam menunjukkan pukul 10.00 pagi apabila 3 pegawai perundangan UNOSOM II tiba menaiki dua buah Land Rover awam di iringi dua buah APC Pasukan Pakistan. Mereka terdiri dari Micheal Aradika dari Ghana selaku ketua kumpulan serta dua orang lagi Jim Acally dan Kenneth Lain.
Sebaik tiba mereka terus masuk ke dalam bangunan mahkamah untuk meneruskan upacara. Kapten Halim masih terus berhubung dengan Markas MALBATT. Beliau di beritahu sumber perisikan yang memperolehi laporan dari helikopter yang membuat tinjauan udara, terdapat pergerakan sekumpulan militia Somalia bersenjata mara ke kawasan Mahkamah Agung Benadir. Mengikut laporan itu lagi, di anggarkan kekuatan kumpulan militia itu antara 10 ke 15 orang. Sebaik menerima maklumat itu, kapten Halim terus menyalurkannya kepada anggota-anggota lain sambil memberi ingatan agar terus berwaspada. Upacara itu selesai pukul 11.00 pagi dan seramai 50 orang pegawai perundangan dan Hakim Somalia mula beredar meningalkan bangunan mahkamah.
Tiga orang Pegawai Perundangan UNOSOM II tidak terus beredar tapi masih berbual-bual di perkarangan mahkamah. Menyedari bahaya yang kemungkinan berlaku sekiranya mereka di serang, Kapten Halim segera mendapatkan mereka dan menasihatkan mereka supaya beredar dengan segera.
"Tuan, saya rasa lebih baik tuan kembali ke kawasan penjara dengan segera. Kami mendapat laporan ada militia Somalia dalam perjalanan ke sini" Kapten Halim memberitahu dengan sopan. Ketiga-tiga Pegawai Perundangan UNOSOM II masih belum berganjak sebaliknya terus berbual-bual. Setelah menunggu seketika, Kapten Halim pergi mendapatkan mereka dan memberitahu sekali lagi supaya mereka kembali ke kawasan penjara. Kali ini dengan nada yang sedikit tegas. "Tuan, keadaan semakin bahaya, lebih baik beredar sekarang juga" tegur Kapten Halim. "Tak apa, suruh pasukan pengiring pergi dahulu. Tak payah tunggu kami" jawab Micheal Aradika. "Tak boleh tuan, mereka di arahkan untuk mengiringi tuan-tuan kembali ke kawasan penjara kalau terjadi apa-apa mereka akan di persalahkan" bantah Kapten Halim. Geram juga hatinya melihatkan kerenah mereka. Ketiga-tiga pegawai itu mula berbelah bahagi mengenai pasukan pengiring.
Mereka mula bertengkar sesama sendiri. Micheal beriya-iya tidak mahu mengunakan khidmat pasukan pengiring dari pasukan tentera Pakistan. Kapten Halim hanya memerhati gelagat mereka. Akhirnya mereka membuat keputusan agar Pasukan Pengiring Pakistan menunggu di penjara. Mereka akan pergi ke penjara dengan menaiki Pajero tanpa pengiring. Dari Penjara mereka akan di iringi ke Markas UNOSOM II. Kapten Halim terpaksa akur dengan keputusan mereka. Dia kemudian di minta untuk memandu Pasukan Pakistan ke Penjara kerana mereka tidak tahu jalan hendak ke sana. Kapten Halim terus keluar menemui Pasukan Pakistan untuk mengatur pergerakan. Pada masa yang sama, di luar orang awam Somalia yang tadinya ramai kini beransur-ansur kurang dan akhirnya terus hilang dari kawasan sekitarnya. "Ada yang tak kena ni" fikir Sarjan Sarizan. Dia terus memberitahu perubahan keadaan kepada anggota-anggota lain sambil mengingatkan mereka agar jangan leka dan terus berwaspada. Tiba-tiba dia di datangi oleh seorang pemuda Somalia yang menunjuk ke arah sebuah rumah. Di tingkat atas rumah tersebut kelihatan seorang wanita. Di sebabkan batasan komunikasi wanita itu cuba memberitahu sesuatu melalui isyarat tangan. Sarjan Sarizan faham wanita itu cuba memberitahunya sesuatu sedang berlaku di dalam rumahnya.
Dengan penuh berhati-hati Sarjan Sarizan cuba merapati dinding rumah itu. Baru sampai ke tangga, BAM! BAM! Dua das tembakan di lepaskan dari tingkat atas rumah itu. Serentak dengan itu tembakan bertubi-tubi seperti bertih goreng kedengaran dari pelbagai arah. Sarjan Sarizan terus berlari mendapatkan perlindungan di dalam kereta perisainya. Dia terus membalas tembakan dari dalam kereta perisainya. Lans Koperal Ramli yang berada di atas bangunan mendengar tembakan yang di lepaskan dan tembakan balas APCMALBATT dari arah hadapan bangunaan.
Ketika itu juga terdengar bunyi riuh rendah suara orang di bahagian belakang bangunan. Beliau mengangkat kepala untuk melihat dari belakang tembok dan dia mendapati ada tujuh Militia Somalia di situ. Dia mengangkat senjata dan menenang untuk menembak mereka. Ketika baru hendak menarik picu senjatanya, BAM!BAM!BAM! tembakan bertubi-tubi dari bangunan sebelah. Nasib baik Militia Somalia kebanyakan tidak terlatih, tembakan itu mengenai tembok batu tempat beliau berlindung. Beliau mengangkat kepala sekali lagi untuk membalas tembakan, tapi sekali lagi dia di hujani dengan tembakan bertubi-tubi. Beberapa kali dia cuba membalas tembakan tetapi setiap kali itulah dia menjadi tumpuan tembakan. Dia berubah kedudukan dengan merangkak ke bucu sebelah kiri bangunan.
Tetap sama dia menjadi tumpuan tembakan bertubi-tubi militia Somalia. Sahlah! Dia sedang di perhati dan di awasi oleh penembak hendap Militia Somalia. Kapten Halim yang sedang berbincang dengan ketua pasukan Pengiring Pakistan apabila mendengar bunyi tembakan Mesingan dan Pelancar Roket Granade 7 (Rocket Propelled Granade 7-RPG 7). Dia terus berlari mendapatkan Kereta Perisainya. Dari dalam Kereta Perisainya berhubung dengan anggota melalui radio komunikasi untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Mereka melaporkan belum dapat melihat arah kemaraan musuh dan tembakan dilepaskan dari pelbagai arah.
Kumpulan Penembak Tepat juga melaporkan mereka tidak dapat memastikan arah kemaraan musuh kerana menjadi sasaran tembakan penembak hendap Militia Somalia. Menyedari Kumpulan Penembak Tepat menjadi sasaran tembakan bertubi-tubi Militia Somalia menyebabkan mereka sukar memainkan peranan dengan berkesan, Kapten Halim mengarahkan mereka segera turun ke bawah. Kumpulan 1 yang di anggotai Koperal Halim dan Prebet Rosli berjaya turun setelah pertempuran berlangsung beberapa minit. Mereka kemudian menaiki APC3 dan membalas tembakan dari dalam kenderaan. APC2 melaporkan kepada Kapten Halim pergerakan segerombolan Militia dari arah laut menuju ke mahkamah.
Tembakan di lepaskan secara membabi-buta dari celah-celah tingkap dan lubang-lubang di dinding ke arah mahkamah (Rumah dan bangunan di Somalia banyak yang berlubang bekas tembusan peluru hasil perang saudara yang berlarutan). Kapten Halim mengarahkan anggotanya membalas tembakan ke arah musuh dan tidak menembak secara melulu demi menjaga keselamatan orang awam yang tinggal di kawasan sekitar. Walaupun di hujani peluru, pasukan MALBATT masih dalam pertimbangan Kapten Halim membawa kereta perisainya masuk ke dalam perkarangan Mahkamah mencari tiga orang pegawai perundangan UNOSOM II yang kini sudah terperangkap di dalam bangunan mahkamah. Di dalam bangunan beliau menemui mereka di dalam sebuah bilik bersama beberapa pegawai perundangan Somalia. Pegawai Somalia itu berjanji akan menjaga ketiga-tiga pegawai UNOSOM II yang kini mula tergambar perasaan cemas di muka masing-masing. Kapten Halim kemudian bergegas pula pergi mendapatkan Kereta Perisainya untuk menyampaikan laporan terkini kepada Markas MALBATT.
Beliau berulang-alik beberapa kali dari kereta perisainya ke dalam bangunan mahkamah kerana pegawai UNOSOM II yang ketakutan memintanya bersama-sama menemani mereka. Tembakan Militia Somalia terus menembak dengan mengunakan mesingan, senjata ringan, RPG 7 dan bom tangan. Anggota MALBATT mempertahankan kedudukan mereka dengan membalas tembakan dan membaling bom tangan ke arah Militia Somalia. Setelah bertempur dengan sengit selama lebih kurang sejam, Kapten Halim kemudiannya memdapat tahu salah seorang Pegawai perundangan Somalia cuba berhubung dan berunding dengan kumpulan Militia. Pegawai Somalia itu memberitahu sekiranya pasukan MALBATT menghentikan tembakan mereka juga akan berhenti menembak. Kapten Halim segera mengarahkan anggotanya menghentikan tembakan, tetapi Militia Somalia masih terus-menerus melepaskan tembakan. Kapten Halim mengarahkan anggotanya membalas kembali tembakan. Pegawai Somalia tersebut kemudian memberitahu Kapten Halim pihak Militia Somalia mahukan ketiga-tiga pegawai UNOSOM II sebagai tebusan barulah mereka berundur. Kapten Halim berasa tercabar dengan permintaan pihak Militia Somalia. Dia tidak akan sekali-kali menyerahkan pegawai UNOSOM II sebagai tebusan.
Ini prinsip yang di junjung tentera darat dalam Sumpah Kesatria. Tidak sekali-kali mengenal menyerah. Biar putih tulang jangan putih mata. Dengan sikap pantang menyerah sebelum bertarung, permintaan Militia Aideed tersebut ditolak mentah-mentah. Permintaan tersebut dijawab dengan tembakan berterusan oleh Kapten Halim dan anggotanya.
Menyedari keadaan yang semakin merbahaya dan genting Kapten Halim mengambil keputusan untuk berundur segera. Beliau menghubungi Leftenan Salmi, "Salmi, beritahu Ketua Pengiring Tentera Pakistan masuk ke dalam perkarangan mahkamah sekarang. Ambil Pegawai UNOSOM dan berundur ke penjara" perintah Kapten Halim.
"Tuan, Pasukan Pakistan dah cabut" Jawab Leftenan Salmi. "Bilaaa?!!" Tanya Kapten Halim terkejut. "Masa mula-mula pertempuran lagi Tuan" balas Leftenan Salmi. Kini mahu tak mahu keselamatan pegawai-pegawai UNOSOM II menjadi tanggungjawab beliau. Beliau dengan berani menggerakkan APC menghampiri bangunan mahkamah bagi menyelamatkan para pegawai UNOSOM II yang sedang terperangkap di bangunan tersebut. Tanpa berlengah lagi, semua pegawai UNOSOM II di arahkan masuk ke dalam Kereta Perisainya.
Pegawai-pegawai itu yang pada mulanya banyak kerenah kini umpama lembu di cucuk hidung, mengikut sahaja arahan yang di berikan. Ketika pegawai UNOSOM II sedang berlari menuju ke kenderaannya, Kapten Mohd. Halim dengan tidak menghiraukan keselamatan diri terjun dari kenderaannya sambil melepaskan tembakan balas secara bertubi-tubi ke arah Militia Aideed bagi memberi perlindungan rapat kepada para pegawai UNOSOM II. Dua Kumpulan Penembak Tepat masih di atas bangunan. Kapten Halim mengarahkan mereka turun dengan mengunakan pembesar suara.
Lans Koperal Rosli yang mendengar arahan itu berlari secara taktikal bersama rakannya Prebet Jamari menuju ke tangga. Bagai manapun mereka menghadapi kesukaran untuk turun kerana menjadi sasaran tembakan setiap kali menghampiri tangga. Sebagai ketua pasukan Kapten Halim mesti memastikan kesemua mereka dapat turun sebelum berundur. Kapten Halim bergerak ke bawah tangga besi sambil memanggil anggotanya turun. Walaupun tindakan beraninya mengundang bahaya menjadi sasaran tembakan Militia Somalia dia terpaksa berbuat demikian kerana dia tiada pilihan lain untuk menyelamatkan anggotanya. Lans Koperal Rosli dan Prebet Jamari mengelunsur turun melalui tangga besi. Mereka kemudian di bawa menaiki APCKapten Halim.
Kapten Halim seterusnya pergi mendapatkan Lans Koperal Ramli. Lans Koperal Ramli sebaik mendengar arahan untuk turun dari pembesar suara terus bergerak ke arah tangga. Tetapi itu bukanlah mudah, di samping tembakan bertalu-talu dia terpaksa merangkak dan melompat dengan cepat dari satu tembok ke tembok yang lain.Tujuh tembok semuanya. Setiap tembok setinggi dua kaki. Tembok terakhir adalah yang paling lama untuk di lintasi kerana Militia menumpukan tembakan ke situ. Akhirnya setelah bersusah payah dan mengadai nyawanya dia berjaya merapati tangga besi.
Prebet Zaini telah tiada di situ. Mungkin telah turun sebaik menerima arahan. Lans Koperal Ramli menghulurkan senjata sebagai menjawab panggilan Kapten Halim di bawah. Dia tidak mahu menyahut kerana masih menjadi sasaran Militia Somalia.Dia kemudian mendengar Kapten Halim menyuruhnya turun sambil berhati-hati kerana mereka akan berundur. Bagi memudahkannya turun Lans Koperal Ramli menyilangkan tali sliang senjata ke belakang dan turun dengan memeluk tiang tangga lalu mengelungsur ke bawah. Di bawah dia di sambut oleh Kapten Halim dan dibawa masuk ke dalam Kereta Perisainya.
Apabila semua anggotanya telah selamat Kapten Halim pun mengarahkan Pasukannya berundur di bawah hujan peluru, RPG 7 dan bom tangan pihak Militia Somalia. Tayar salah sebuah nombor ZA 9360 bocor terkena serpihan bom tangan tetapi masih boleh bergerak. Kerana tindakan berani Kapten Mohd. Halim, usaha hendak membantutkan proses keamanan yang dirancang melalui satu tindakan nekad oleh puak Militia Aideed telah dapat digagalkan.
Setelah bertempur hebat dengan Militia Aideed beliau akhirnya pulang bersama anggota dan para pegawai UNOSOM II dengan selamat ke pangkalan. Mereka sampai ke Markas MALBATT lebih kurang pukul 1.00 tengah hari. Ketiga-tiga pegawai UNOSOM II dibawa Kapten Halim ke Bilik Gerakan MALBATT bertemu Leftenan Kolonel Rozi. Ketiga mereka yang masih terkejut dan berpeluh-peluh bertanya kepada Leftenan Kolonel Rozi "Er..Siapa Komander pasukan ini?" tanya salah seorang dari mereka dengan nada yang gementar "Kolonel Latif, dia tak ada di sini dan saya timbalannya" jawab Leftenan Kolonel Rozi.
Ketika itu Kapten Halim pergi berjumpa dengan anak buahnya di samping memeriksa keadaan kenderaan dan peralatan yang di gunakan untuk membuat laporan nanti. Dia bersyukur kerana tanggungjawab melindungi Pegawai UNOSOM II berjaya di laksanakan tanpa ada seorang pun anak buahnya yang terkorban atau tercedera. "Kami ucapkan terima kasih banyak-banyak. Tak tahu macamana apa cakap. Kalau tak ada pasukan MALBATT tak tahu apa yang terjadi." Kata salah seorang dari pegawai UNOSOM kepada Leftenan Kolonel Rozi. "Siapa nama Kapten tadi?" tanya yang lain pula "Kapten Mohd Halim" balas Leftenan Kolonel Rozi. "Ya, dia patut di berikan pingat atas keberaniannya."
"Kami nak beri dia pingat, atau awak patut bagi kepadanya?" cadang yang lain. "Baiklah, baiklah, kami akan sampaikan cerita ini ke Mindef (Kementerian Pertahanan Malaysia), mereka akan tentukan siapa yang layak dapat pingat akan menerimanya" kata Leftenan Kolonel Rozi.
Sebenarnya tak payah di beritahu memang itulah yang akan di buatnya. Dia tumpang bangga dengan pencapaian yang di tunjukkan oleh anak buahnya. Sejak itu nama pasukan MALBATT makin harum di kalangan pasukan pengaman dan rakyat Somalia. Mereka memuji dan menghormati MALBATT sebagai satu pasukan tentera yang tangkas, berani dan profesional. Tindakan berani serta semangat taat setia yang sedia tertanam dijiwa Perwira RAMD ini telah mendapat pujian tidak hanya daripada para pegawai kehakiman terbabit malah turut mendapat pujian daripada para pegawai lain yang berkhidmat dengan UNOSOM II.
Menurut para pegawai kehakiman terbabit mereka tidak hanya terhutang budi malah berhutang nyawa kepada Kapten Mohd. Halim. Jasa beliau tidak mungkin dapat dilupai hingga ke akhir hayat mereka. Inilah kata-kata yang sungguh bermakna dan secara langsung turut menaikkan imej negara"
Siri Patriot: "Harimau Malaysia di Somalia"
pic di stadium markas Pakistan slps menyelamatkan US Ranger
Terimakasih/kredit kpd forum PanggilanPertiwi/Hari ini dalam sejarah dan kpd kuk kerana post entri ini.