Wabak acute gastroenteritis (AGE) yang dibawa virus Rotavirus telah merekodkan 251 kes terbaru lalu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dijangkiti meningkat kepada 3,068 orang. Wabak yang dibawa virus itu tersebar melalui air dan makanan dan dikatakan hanya menjangkiti bayi dan kanak-kanak telah melanda kawasan di Teluk Intan, Hutan Melintang, Chenderong Balai, Langkap di Hilir Perak dan Batang Padang dan Tapah.
Virus Rotavirus itu dikatakan lebih mudah menyerang bayi berusia antara dua bulan hingga 10 bulan menyebabkan mangsa cirit-birit dan demam panas sebagai tanda awal. Penemuan punca wabak AGE itu diperolehi hasil ujian makmal setelah dua orang bayi mati mengejut awal minggu lalu. Virus berbahaya itu menyebabkan bayi yang menghidapnya hilang selera makan, sakit kepala, sakit perut, loya dan pelbagai tanda lain.
Antara langkah paling berkesan bagi mengelak wabak ini adalah dengan memasak air sebelum diminum, mengamalkan membasuh tangan menggunakan sabun dan air bersih sebelum dan selepas makan, sebelum menyediakan atau menyentuh makanan, serta selepas ke tandas.
Selain itu, langkah mengurangkan pemakanan mentah seperti ulam-ulaman atau tidak dimasak, memasak makanan dengan sempurna, membersihkan peralatan makanan dan minuman bayi dengan cara merebus terlebih dahulu sebelum digunakan serta memilih premis makanan yang bersih.
Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan lebih 440,000 kematian kanak-kanak dan bayi di seluruh dunia disebabkan Rotavirus. Sebarang pertanyaan mengenai wabak AGE boleh dibuat terus kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui talian 05-2533489 atau 05-2533012.
Diedit dari pelbagai sumber - yastro