Date & Day: 25 DECEMBER 2011 (SUNDAY)
Time: 8.00pm
Venue: STADIUM MERDEKA, KUALA LUMPUR
Ticket Prices: RM 77.00
Tiket Online: Tiket Online
Info dari myMetro:
PERJALANAN sebuah kumpulan takkan lengkap tanpa kehadiran sang pelantun yang hadir membisikkan nada dan memberikan jiwa pada bait-bait indah tercipta. Sering kali juga kita terdengar kisah kumpulan hebat dulu kala yang ibarat burung patah sayap, apabila vokalis utama membuat keputusan keluar daripada perjuangan secara berkumpulan.Biar kekosongan diisi penyanyi setara hebat, tetap yang lama dimahukan kerana itulah peminat terlalu gembira apabila mendengar Awie kembali ke pangkuan Wings pada 2002 menerusi album Naga Keramat. Sama keadaannya seperti Mael yang menemukan semula semangatnya bersama XPDC pada 2006 selepas sekian lama Ali yang dulunya vokalis Terra Rossa mengisi ketiadaan penyanyi metal itu. Sebaliknya dengan Faizal yang pernah menganggotai kumpulan nasyid kontemporari Mirwana, sementara Azlan mencipta sejarah singkat bersama Meet Uncle Hussain, kekosongan mereka bagai belum ada pengganti.
Namun, memilih untuk bergerak secara bersendirian tanpa sedar menemukan kedua-dua pemuda ini dengan peluang besar selain menempuh perjalanan karier lebih cemerlang. Tinggalkan seketika sejarah silam, permasalahan atau konflik yang pernah melanda setiap figura itu sebelumnya kerana ada berita penting untuk dikhabarkan berhubung penggabungan mereka dalam konsert dinamakan Loudspeaker. Bakal berlangsung di Stadium Merdeka pada 25 Disember ini, jam 8.30 malam, perang vokal di antara kelima-lima vokalis itu pastinya menghasilkan paduan yang luar biasa. Jika direncana dengan baik, tidak mustahil Loudspeaker menjadi penutup konsert pada 2011 yang paling gemilang. Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, 43, begitu berharap konsert ini mendapat sambutan khususnya daripada penggemar rock.
“Belum pernah ada penganjur terfikir untuk melakukan konsert berbayar seperti ini dan kerana itu kami menerima pelawaan Red Garage Group Sdn Bhd kerana tertarik dengan konsep yang diketengahkan. “Mungkin ada beranggapan Wings tidak perlukan sebarang gabungan untuk memancing penontonnya berdasarkan sambutan baik diberikan konsert kami sebelum ini. “Namun, secara peribadi saya mempunyai keyakinan bahawa Loudspeaker ini adalah sebuah pementasan unik dan berbeza malah patut ditontoni peminat. “Sama ada Wings, XPDC, Faizal Tahir dan Azlan & Typewriter kita semua memperjuangkan muzik rock dengan konsep berlainan. Misalnya Wings terarah pada Rock & Roll, XPDC pula Metal, Faizal dia lebih kepada komersil bagaimanapun dia mempunyai tone suara yang sangat baik manakala Azlan & Typewriter mewakili rock alternatif. “Secara tidak langsung ia menunjukkan perubahan muzik yang berlaku dalam setiap generasi berbeza. Namun, seperkara yang terus bertahan dan unggul sehingga hari ini adalah teras rock itu sendiri,” katanya.
Berpusat di bawah genre yang sama, pecahan muzik rock diketengahkan mereka baik buat si pelantun solo mahupun didatangkan bersama pakej berkumpulan dengan jelas berbeza identiti dan pendirian. Vokal setiap lima daripada penyanyi itu juga mempunyai ciri khas yang tersendiri tanpa membayangi sesiapapun menambahkan lagi keunikan konsert Loudspeaker ini. Awie turut memuji usaha Red Garage Group Sdn Bhd dalam usaha mengumpulkan ‘band-band’ terbaik dalam satu persembahan berbayar yang secara tidak langsung mendidik masyarakat untuk menghargai artis serta penggiat muzik tempatan.
Sejarah juga bakal tercipta dengan penggabungan Mael dan bekas vokalis, Ali, yang sepakat beraksi di samping XPDC pada malam konsert itu nanti. Menurut Mael, rencana untuk mengadakan reunion bersama seluruh anggota XPDC sememangnya sudah ada dalam perancangan mereka tahun depan namun, belum sempat ia terlaksana penganjur Loudspeaker terlebih dulu menyediakan platform. “XPDC sememangnya sedang dalam perancangan mengadakan konsert reunion tahun hadapan di mana penjelajahan itu bermula di Singapura kerana yang mencetuskan idea ini adalah penganjur dari negara itu. “Insya Allah, kita akan membuat persembahan Januari nanti. Kemudian merancang untuk menjelajah beberapa kota di Semenanjung Malaysia jika menemukan masa dan lokasi yang sesuai.
“Mulanya ia akan menjadi perkara yang ‘suprise’ untuk peminat tetapi Red Garage Group Sdn Bhd lebih pantas menghidu. Justeru XPDC ingin menggunakan peluang yang diberi Loudspeaker ini untuk menghebahkan mengenai penggabungan kami sekali gus membuktikan XPDC masih berupaya beraksi dalam konsert berskala besar,” katanya. Mohd Ali Ismail atau Ali pula menambah, meskipun kini bergerak secara solo namun dia sentiasa dahagakan peluang beraksi dengan XPDC kerana suatu ketika dulu pernah hadir mengisi kekosongan kumpulan itu.
“Saya amat teruja menjayakan konsert Loudspeaker ini. Secara peribadi saya adalah penggemar lagu-lagu Wings juga XPDC. Namun, sudah pasti kembali beraksi bersama XPDC sesuatu yang saya nanti-nantikan. “Sebelum ini, saya pernah menganggotai XPDC, merasai jatuh bangun dan kita membuat persembahan bersama-sama dia merata-rata negeri. Saya sendiri menjadi saksi bahawa XPDC masih unggul di hati peminat cuba kita jarang dapat peluang seperti ini. “Sebagaimana dimaklumkan Mael, tahun depan kita akan mengadakan konsert reunion dan saya berharap pembabitan dalam Loudspeaker ini menjadi permulaan baik buat XPDC kembali menggegarkan persada seni,” katanya.
Beralih kepada Faizal Tahir, peluang berkongsi pentas disamping Wings dan XPDC termasuk rakan seperjuangannya, Azlan, pada 25 Disember ini di Stadium Merdeka, mengungkap perasaan yang sangat berbeza. “Semestinya saya berasa terharu kerana Wings dan XPDC antara kumpulan otai di negara ini yang cukup saya kagumi. Dulu saya menjadi penonton tetapi sekarang dapat pula berkongsi pentas, memang ia satu penghargaan yang cukup besar. “Untuk persembahan malam itu saya akan membuat persembahan bersama band Faizal Tahir & The Royale FT Force. Apa yang menarik mengenai Loudspeaker selain membawa pengertian muzik serta nyanyian yang ‘loud’ serta bertenaga, kesemua senarai lagu ditetapkan oleh penganjur.
“Di mana setiap daripada kumpulan yang terbabit akan menyanyi lagu-lagu hit yang terdapat dalam album mereka. Saya sendiri akan menyanyikan lagu-lagu seperti Karma, Sampai Syurga dan Hanyut untuk mengisi persembahan lebih kurang 40 minit. “Jadi pada konsert itu nanti penonton tiada alasan untuk berdiam kerana saya pasti lagu-lagu yang bakal disampaikan adalah yang mesra pendengar,” katanya. Berbanding dengan yang lain, Azlan mengakui dia belum mempunyai banyak koleksi lagu hit apatah lagu, baru mempunyai satu album. “Disamping membawakan lagu-lagu seperti Gerak Hati, Kelibat Si Penyair dan Jeritan Batinku, beberapa rangkaian lagu ‘cover version’ yang pernah dipopularkan artis tempatan mahupun antarabangsa akan dipersembahkan secara langsung malam itu nanti.
“Saya berharap konsert ini mendapat sambutan yang hebat daripada penonton kerana ia satu gabungan cukup menarik,” katanya ditemui di Studio 16 yang beralamat No 16, Jalan PJU 3/46 Sunway Damansara, Technology Park. Tiket konsert dijual serendah RM77 dan RM222 bagi VVIP. Ia boleh dibeli dengan melayari www.ticketonline.com.my atau mendapatkan di stesen Petronas seluruh Malaysia.
Menyambut kedatangan Loudspeaker, sebuah acara dinamakan Kuala Lumpur Bike Week (KLBW) 2011 akan diadakan pada 23 dan 24 Disember iaitu dua hari sebelum berlangsung konsert itu. KLBW 2011 mengambil lokasi di The Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. KLBW menjadi kesinambungan tahun sebelumnya yang dimulakan sejak 2008. Seperti tahun terdahulu, acara yang turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia ini mencipta kejayaannya yang tersendiri.
# Masih lagi terasa kehangatan kehangatan konsert DT hari tue...:D
Coming Soon!!! |