MalaYsia Cup PriX!!!

on 14 Mei 2010

AMIRUL HAFIQ PASANG IMPIAN BESAR

 Kekurangan pengalaman bukan penghalang buat Amirul Hafiq Mohd Azmi untuk memasang impian besar pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS AAM.


Walaupun ini merupakan penampilan pertama Amirul pada perlumbaan berprestij ini namun pelumba berusia 14 tahun ini sudah membayangkan untuk menggenggam bendera kemenangan pada Pusingan 3 yang akan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai hujung minggu ini.


“Sebenarnya, saingan di Batu Kawan hujung minggu ini akan menjadi penampilan saya yang keempat dalam Cub Prix. Saya pernah beraksi pada pusingan akhir di Padang Kota Lama, Pulau Pinang tahun lalu.


“Meskipun menyedari bahawa saya kurang berpengalaman berbanding pelumba lain yang sudah mendapat pendedahan sama ada dalam Cabaran Honda icon atau Cabaran Yamaha 135LC, namun saya tetap tidak gentar, malah menanam impian besar dengan misi untuk meraih kejayaan.

 “Saya mahu menamatkan saingan di Batu Kawan dengan kemenangan. Pada perlumbaan pembuka tirai di Alor Setar, saya berjaya menduduki tempat keempat dan saya berjaya meduduki podium pada tempat tempat kedua pada Pusingan 2 di Kluang. Menyedari kemampuan saya pada dua pusingan terdahulu, saya yakin bahawa kemenangan itu bukan satu sasaran yang sukar untuk dipenuhi,” kata pelumba yang bersaing dalam kategori Wira ini.


Selepas mengharungi dua pusingan, pelumba pasukan MOS Yamaha Racing ini berkongsi kedudukan di tempat ketiga dengan Mohd Syawalludin Mohd Zaki daripada pasukan Modenas Forty One Racing, masing-masingnya mengumpul 33 mata.


Juara bertahan, Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang) dan Mohd Fitri Ashraf Razali (Caviaga Cilik Racing) pula berkongsi sebagai pendahulu kedudukan keseluruhan dengan 41 mata.


Dalam sejarah Cub Prix, tidak ramai pelumba muda yang mampu menyerlah dalam masa yang singkat terutama mereka yang baru beralih angina daripada poket bike kepada ‘kapchai’.


Pelumba berusia 16 tahun, Hafizh Syahrin Abdullah dan Mohd Ramdan Mohd Rosli, 14, juga mengambil masa yang agak lama sebelum mereka betul-betul selesa bersaing dalam Cub Prix yang menyajikan suasana perlumbaan yang kompetitif dan mencabar.

Begitupun, Amirul Hafiq yang mula berlumba dalam poket bike pada usia 6 tahun, mampu menyesuaikan diri dengan cepat malah telah melakar kejayaan menjejak kaki ke podium pada penampilan ketiganya di pusingan lepas untuk kategori Wira Bawah 17 tahun.


Bapanya, Mohd Azmi Yaacob yang juga seorang pelumba sekitar tahun 90-an, bertindak sebagai jurulatih terhadap karier Amirul.


“Saya yakin, seorang juara itu perlu dibentuk dan saya melihat Hafiq mempunyai potensi yang besar. Ketika dia berusia 5 tahun, saya membelikannya sebuah poket bike tetapi hanya mendaftarkan namanya menyertai perlumbaan ketika dia berusia 6 tahun. Dalam masa setahun, Hafiq menyertai 20 hingga 30 perlumbaan, dan tahun ini, dia sudah menjejak kaki ke Cub Prix dengan menyertai pasukan MOS Yamaha Racing Team. Saya berharap Hafiq akan terus mempamerkan aksi yang cemerlang,” kata Azmi.


Peminat-peminat sukan pemotoran  yang berada di luar wilayah utara tidak akan terlepas peluang menyaksikan perlumbaan terhebat ini kerana mereka boleh menyaksikannya secara langsung menerusi  Saluran 816 Astro Supersports 2 pada hari Ahad, 9 Mei bermula pukul 2.30 hingga 4.30 petang.




Ranking: 5
 
© Yastro.net All Rights Reserved