Gadai nyawa di pesisir pantai...

on 07 Mei 2010


 Pantai Pandak, Chendering memang pantai yang cantik dan sering dikunjungi orang ramai. Namun ia dikatakan berpenunggu ekoran banyak kejadian lemas direkodkan di tempat itu saban tahun. Kejadian terbaru berlaku di pantai itu ialah pada 1 Februari lalu apabila seorang pelajar tingkatan lima dari Kampung Surau Haji Daud, Marang lemas apabila dia bersama tiga rakannya dihanyutkan arus ketika mandi di pantai itu. Bagaimanapun, tiga rakannya itu berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi tetapi mangsa hilang dan hanya ditemui sehari kemudian. Sebelum itu, banyak juga kejadian lemas berlaku di situ setiap tahun. Menurut penduduk, pantai itu juga pernah mengambil tiga nyawa sekali gus sehingga penduduk sudah lali sekiranya berlaku kes lemas di situ.

Menurut salah seorang penduduk, Syarifah Sulaiman, 45, dia yang membesar di tepi pantai itu sudah terbiasa mendengar kejadian lemas di situ saban tahun. "Menurut orang tua-tua, pada zaman dahulu, penduduk di sini akan 'menjamu' penunggu pantai ini tetapi selepas upacara itu tidak dilakukan lagi penunggu itu dipercayai mula menagih korban. "Sebab itulah banyak terjadi kes di mana penduduk mendengar bisikan yang mengajak mereka untuk ke pantai," katanya. Jelas Syarifah dia sendiri sentiasa merasa dipanggil untuk mandi di pantai itu. Namun, dia percaya ia bukanlah panggilan daripada penunggu tersebut tetapi kerana keindahan pantai itu.
Penduduk sekitar kata Syarifah sudah faham dengan keadaan cuaca sama ada mereka boleh atau tidak boleh mandi pada masa-masa tertentu. Bagaimanapun, bagi pengunjung luar mereka tidak faham dengan keadaan pantai di situ menyebabkan berlakunya kejadian lemas.

 "Keadaan ombak dan arus harus diambil kira. Penduduk akan cuba melarang pengunjung daripada mandi jika mereka merasa keadaan berbahaya tetapi ada sesetengah pengunjung yang tidak mendengar nasihat itu menyebabkan berlakunya kejadian lemas," katanya. Difahamkan, pantai tersebut sudah menelan lebih 120 nyawa. Namun persoalan mengenai punca begitu banyak kes kematian di Pantai Pandak hanya boleh dijawab oleh pengunjung sendiri sama ada kerana penunggu atau cuai.


Bahkan beberapa tanda amaran seperti'Dilarang mandi di sini' dan 'Kawasan merbahaya, Tidak dibenarkan mandi' diletakkan di sepanjang pantai di Terengganu bagi memberitahu setiap pengunjung akan risiko bermandi-manda di pantai tersebut.


Namun tanpa disedari, kehadiran papan-papan tanda itu dilihat seperti hiasan atau lebih tepat sekali sebagai amaran ringan yang langsung tidak memberi kesan kepada pengunjung. Sebaliknya, pantai di sepanjang pesisir Terengganu terus dikunjungi dan dibanjiri oleh pelancong dan orang tempatan yang sama-sama menghabiskan cuti umum mahupun cuti persekolahan. Dengan kemarau panjang yang melanda negara, ia adalah satu kepuasan kepada ramai individu untuk bermandi-manda di pantai. Bagaimanapun, keghairahan orang ramai di pantai di negeri itu seolah-olah seperti menggadai nyawa.

Ketua Jabatan Sains Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Razak Zakariya turut mengakui risiko itu terutamanya melibatkan tahap keselamatan orang awam. "Kalau melihat kepada bentuk pesisir pantai Terengganu itu sendiri, memang jelas ia berbeza daripada pesisir pantai-pantai di Pahang, Kelantan mahupun Johor yang lebih landai. "Kelainan yang ada pada pesisir pantai di Terengganu adalah bentuknya yang menggelembung dan itu membuatkan pantai di Terengganu memiliki kecerunan yang tinggi berbanding pantai di negeri lain," kata Dr. Razak ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya baru-baru ini. Memerangkap pengunjung. Kecerunan yang tinggi kata Dr. Razak, membuatkan pantai di Terengganu yang menganjur sejauh 225 kilometer (km) dari utara (Besut) ke selatan (Kemaman) tidak selamat untuk dijadikan tempat bermandi-manda. Tambahan pula, keadaan ombak yang tidak menentu di Pantai Timur sering kali memerangkap para pengunjung yang sedang asyik bermandi-manda di kawasan pesisir.

"Biasanya, orang ramai tidak tahu kecerunan sesuatu pantai. Tetapi apabila seseorang itu sudah dibawa arus ke bahagian yang mempunyai kecerunan lebih dalam, dia akan tiba-tiba panik dan situasi ini yang menyebabkan berlakunya insiden lemas," tambahnya. Menurut Dr. Razak, tiga lagi faktor sampingan yang membuatkan pantai di Terengganu tidak selamat adalah beting pasir, keadaan pasang surut yang tidak menentu dan kehadiran ampai-ampai yang mengancam nyawa. Menambahkan lagi fakta mengenai bahayanya pantai di Terengganu adalah statistik kematian yang direkodkan sepanjang tahun lalu. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin turut mengakui perkara itu. Kata beliau, sebanyak lapan kematian kerana lemas direkodkan sepanjang tahun lalu di daerah itu. "Empat daripadanya adalah kes lemas ketika mandi di pantai dan terbaru dua pelancong dari Raub, Pahang terselamat apabila mereka nyaris lemas di Pantai Pandak, 15 Februari lalu," katanya. Jelas Zamri antara lokasi pantai di negeri itu yang sering mencatatkan kes lemas ialah pantai Batu Burok, Tok Jembal dan Pandai Pandak, Chendering.

Apa yang mengecewakan ujarnya, pemantauan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak dilakukan secara menyeluruh kerana hanya papan tanda diletakkan tanpa melakukan rondaan. "PBT sepatutnya turut mencegah orang ramai daripada mandi di pantai secara lisan. Mereka juga boleh menggunakan pendekatan undang-undang dengan mendenda mereka yang mandi di pantai dan sebagainya."Walaupun tindakan ini mungkin mendatangkan kemarahan pengunjung, tetapi ia perlu bagi memberitahu tentang bahaya yang menanti mereka," katanya.


# Kredit to kosmo..
Aku pernah tengok satu keluarga (7/8 org) di Bagan Lalang Selangor mandi manda tanpa hiraukan air laut dah mula pasang...jauh gak diaorg mandi.. Akhirnya bila air laut pasang dh sampai paras dada, baru lah mereka perasan yg air laut dah pasang tinggi...dlm perjalanan balik ke pantai seorang ahli keluarga mereka dihanyutkan arus dan gagal diselamatkan...malangnye mayat ahli keluarga tersebut kalau x salah aku sehingga sekarang gagal dijumpai... Itulah bahaya air laut jika kita ambil mudah,ringan ttg air pasang..walaupun pantai tu landai, jika salah perhitungan ...nyawa jadi taruhan!!!!
Ranking: 5
 
© Yastro.net All Rights Reserved