Entri asal ini disalin dari Azhar6249sWebLog
Mungkin,anda pernah membaca artikel ini...mungkin juga anda juga tidak pernah membacanya..Apa yang penting disini ialah semangat keperwiraan yang dipaparkan oleh SSjn Sulaiman bin Barry dan sahabat2nya apabila keadaan sangat2 memerlukan khidmat mereka.
Pengalaman yang sangat tinggi nilainya buat 19RAMD mekanise....
Semoga ianya bermanafaat kepada pembaca2 yang lain. Entri ini adalah lanjutan kepada 19RAMD mekanise yang pernah saya paparkan sebelum ini.
PENGENALAN
1. Pertempuran di Pasar Bakara Market, Mogadishu Somalia telah menjadi satu titik di dalam diari penglibatan Tentera Darat di dalam misi PBB khususnya 19 RAMD Mekanis. Walaupun kelengkapan tempur serba kekurangan pertempuran pada 03 dan 04 oktober 1993 di tengah-tengah Kota Mogadishu itu benar-benar memberikan satu pengalaman peperangan baru kepada 11 Pegawai dan 103 Lain-lain Pangkat secara langsung dan keseluruhan Pegawai anggota MALBAT I, UNOSOM II Somalia.
2. Kejayaan pasukan MALBAT membantu pasukan tentera Amerika adalah suatu perkara yang diluar dugaan dan sangat membanggakan. Pengiktirafan dari negara Amerika dan lain-lain negara telah berjaya menbuktikan kebolehan anggota Tentera Darat Malaysia di mata antarabangsa.
SKOP
- Pendahuluan.
- Pengalaman sebelum operasi menyelamat.
- Pengalaman semasa operasi menyelamat.
- Pandangan dari sudut seorang crewman.
PENDAHULUAN
3. Pengumuman kerajaan Malaysia menyertai kumpulan Pengaman Bangsa-bangsa Bersatu di Somalia UNSOM II dan seterusnya memberi mandat kepada Tentera Darat untuk memilih pasukan yang terbaik dan bersesuaian memikul tanggungjawab tugasan tersebut. Pasukan 19 RAMD Mekanis berpengkalan di Sungai Petani dipilih memikul dan menerima tanggungjawab yang diamanahkan kepada seluruh warga pasukan itu. Rasa syukur dan hormat semangat keperwiraan pasukan menerima tangungjawab tersebut dan berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh Tentera Darat khususnya kerajaan Malaysia dengan tidak merasa sangsi keupayaan Pasukan 19 RAMD Mekanis bagi menjalankan tugas yang diberikan. Pemilihan Pasukan 19 RAMD tersebut bukanlah dianggap satu masalah pada warga pasukan, malahan ianya satu kejayaan dan dihormati oleh pasukan-pasukan tempur lainnya.
PENGALAMAN SEBELUM OPERASI MENYELAMAT
4. Saya 1082037 Sarjan Sulaiman bin Barry mula berkhidmat dalam tentera 22 Feb 1990. Setelah tamat menjalani latihan di Pusat Latihan Rekrut Port Dickson saya telah ditempatkan untuk bertugas ke Batalion 19 RAMD Mekanis berpangkalan di Sungai Petani Kedah. Saya berasal dari Masjid Tanah Melaka, mempunyai lima adik beradik taraf pendidikan SAP. Setelah tamat menjalani kursus Memandu dan Senggaraan kelas II A bermulah kerjaya saya sebagai anggota pemandu kenderaan A di dalam Kompeni C, banyak latihan dan pengalaman dapat saya pelajari sebagai pemandu kenderaan A. Apabila 19 RAMD diberi kepercayaan menjalankan tugas di bawah PBB.
5. Saya merasa teruja apabila turut diberi peluang dan kepercayaan terpilih bersama pasukan19 RAMD bertugas di Somalia didalam Kompeni A dibawah perintah Mejar Abd Aziz bin Abd Latif dan berada didalam Platun 3 yang diketuai Leftenan Muda Juraimi bin Ariffin. Kegembiraan dan peluang ini tidak mahu saya elakkan untuk berkhidmat bersama-sama pasukan tentera pengaman dari negara lain, pengalaman yang bakal diperolehi ini cukup bererti yang tidak akan saya lupakan. Bagaimana pun keresahan tetap ada, walaupun sebelum menyertai pengaman saya dan rakan-rakan sentiasa menjalani latihan sebagai persiapan.
6. Terfikir juga adakah saya mampu menjalankan tugas di sana untuk menghadapi pelbagai risiko samada bentuk muka bumi, pergaulan, keranah masyarakat setempat, tugas dan tanggungjawab.Pergolakan dan situasi yang berlaku di antara kaum disana tidaklah penting untuk difikirkan kerana telah sedia dimaklumkan. Setelah diberi kata nasihat dan peransang keyakinan juga semangat mula meninggi, peluang yang diberi mesti direbut mungkin ianya tidak berulang lagi. Pada 30 Jun 1993 jam 2100H seramai 204 anggota kumpulan besar pertama termasuk saya berlepas dari Pangkalan TUDM Butterworth menaiki sebanyak tiga kali C130.
7. Dalam perjalanan masing-masing bagaikan terkedu untuk berkata menanyakan soalan, memikir dan memberi jawapannya sendiri amat meletihkan. Setelah berhenti beberapa destinasi akhir kami sampai ruang udara negara bergolak Somalia dan berlegar-legar seketika di Bandar Mogadishu yang amat daif seperti kawasan baru untuk dibangunkan angkara peperangan bagaikan terkena kejutan elektrik masing-masing memikir ada yang dapat merumuskan sendiri.
8. 1 Julai 1993 melangkahkan kaki di bumi Somalia dengan semangat bercampur kegerunan walau disambut oleh kumpulan kecil pertama seolah tiada perkara berat untuk difikirkan dan dengan sendirinya kami menonton upacara menghantar pulang tentera yang tidak bernasib baik. Ada di antara kami dapat menerima kenyataan ini dan bersedia dengan ketentuannya dan ada yang sebaliknya. Apa yang berlaku adalah asam garam dalam tentera, keyakinan dan keazaman tidak akan luntur.
9. Secara rasminya bermulalah tugas saya sebagai pemandu kenderaan A tempur RPZ serang hendap di kawasan yang sama cuma waktu yang berbeza, kami di tembak dicelah-celah bangunan Misi Pengaman dan membuat rondaan yang dinamakan ‘Outskirt’ sekitar Mogadishu siang dan malam dalam jangkamasa 10 jam. Tiap-tiap rondaan selama dua jam, lima kali sehari melibatkan tiga platun dalam satu Kompeni.Tugas pertama selamat
dilaksanakan walaupun di awal rondaan melibatkan platun satu mengalami sedikit masalah semasa mejalankan tugas.
10. Sebelah malamnya adalah satu tugas yang tidak akan saya lupakan di mana kami tidak dibenarkan memandu mengunakan cahaya lampu kerana mengambil kira aspek keselamatan. Walaupun telah dilatih kami belum dapat menyesuaikan diri, di sinilah bermula kerjasama krewmen antara Ketua Kereta dan pemandu. Kerisauan mula melanda kerana peranan Ketua Kereta dan pemandu tidak berfungsi dengan baik, sungguh pun dibekalkan alat pandangan malam. Terbukti kami menggunakan peralatan moden tetapi penyesuai dan penggendalian yang terhad telah mencacatkan dan boleh mengurangkan keyakinan menjalankan tugas.
11. Akhirnya kami tidak mengunakan bantuan pandang malam sebaliknya menggunakan pengalaman memandu malam untuk menyesuaikan keadaan. Detik mencabar menduga mental dan fizikal bermula apabila kami meronda kawasan kawalan pasukan Pakistan, secara tiba-tiba kawasan itu diserang secara tidak langsung kami bagaikan kehilangan arah didalam kegelapan malam mencari tempat perlindungan sebalik bangunan namun keselamatan tetap tidak memberi jaminan. Serangan itu tertumpu pada pos kawalan pasukan Pakistan bagaimana pun tempias tidak dapat dielakan.
12. Keesokan harinya kawasan yang sama ribuan manusia menjalankan aktiviti harian meskipun kami nampak beberapa orang bersenjata, kami tidak melatah malahan bersedia menghadapi apa pun risikonya. Akhirnya letupan tembakan berlaku dikesibukan orang ramai keadaan yang sangat teruja ketika itu seolah-olah tidak memberi ruang untuk membuat keputusan membalas atau terus memecut, seakan telah mendapat arahan ketika itu kami membalas tembakan tersebut tanpa merasa ragu-ragu. Saya memandu kenderaan kedua jelas nampak apa yang berlaku seakan sesuatu yang tidak kena dan kami terus memberi tentangan.
13. Saya berpendapat dan memaklumkan kepada Ketua Platun memberhentikan tembakan dan keluar dari kawasan tersebut kerana saya membayangkan platun di dalam keadaan terlalu terdedah dan kealpaan membalas tembakan dengan membabi-buta kami terdedah kepada kecekapan militan mengunakan senjata anti kereta kebal. Saya cukup gembira walaupun sebagai seorang pemandu kenderaan, Ketua Platun sependapat dengan saya lalu Ketua Platun mengarahkan meninggalkan kawasan tersebut.
PENGALAMAN SEMASA OPERASI MENYELAMAT
14. Dengan keyakinan dan kesungguhan yang di tonjolkan oleh MALBAT misi bantuan keamanan telah bertukar menjadi penguatkuasaan, ianya satu cabaran pada kami pada awalnya menjadi pertikaian antara kami. Ini terbukti apabila MALBAT secara langsung terlibat operasi penggeledahan pertama bernama ‘TARGET FISH’ di kawasan perumahan. Sebelum memulakan pergerakan kami telah diberi taklimat oleh Ketua Kompeni dan Ketua Platun terhadap tugas masing-masing. Saya dari Platun No 3 Kompeni A diarahkan membuat kepongan dan pengawasan.
15. Nada bunyi mudah untuk dilaksanakan, hakikatnya kesukaran yang dialami kerana terpaksa melayan kerenah masyarakat setempat yang segelintirnya tidak menyenangi kedatangan kami dan ada juga yang membantu bagi memudahkan pekerjaan kami. Namun ianya merupakan kejayaan yang besar buat MALBAT berjaya merampas beberapa senjata dan bahan letupan. Keupayaan dan kesungguhan MALBAT menjalankan tugas dan tanggungjawab itu membuka mata PBB dan kepercayaan diberi dengan banyak lagi operasi-operasi yang dilaksanakan.
16. Saya merasakan sepanjang menjalankan tugas sesingkat ini dengan berbagai pahit maung sebagai seorang pemandu APC banyak pengalaman yang dapat membantu saya sebagai seorang tentera yang cukup berilmu, bersemangat dan berani. Sememangnya tidak akan saya lupakan penglibatan MALBAT pertempuran di Pasar Bakara Market yang menempuh berbagai situasi. Pada 3 Oktober 1993 1 Kompeni Renjer Tentera Amerika telah menjalankan operasi bersendirian dan telah terkepung, keadaan seakan tidak memihak kepada tentera Amerika.
17. Situasi tersebut meletakkan MALBAT di dalam keadaan siap sedia untuk membantu. 2 Kompeni dari MALBAT telah diarahkan bergerak dan berkumpul di New Port. Di sana saya dan rakan-rakan sabar menunggu arahan dan rancangan yang akan diberi. Kemuncaknya tiba juga apabila kami mendapat arahan hanya melibatkan anggota crewmen sahaja tidak kepada anggota seksyen MALBAT, malah membawa pula tentera dari Amerika. Saya masih merasa terpinga-pinga dan tidak memahami apa yang akan berlaku seterusnya.
18. Akhirnya saya mendapat arahan untuk bergerak walaupun sebelum itu telah diberi taklimat ringkas oleh Ketua Platun tetapi persoalan pada diri kami masih belum mendapat jawapan. Pergerakan kami bermula agak perlahan di dahului oleh dua buah kereta kebal Pakistan dan 2 Kompeni MALBAT yang hanya mengikut, kepada pengiring hanya menanti episod yang akan belaku. Sepanjang pergerakan, kami disambut dengan tembakan dari senjata kecil pihak militia Somali sehinggalah keadaan sudah tidak terkawal, bermula dari semangat yang berani menjadi semakin luntur.
19. Ketakutan dan keresahan tidak bertahan lama sebaliknya kami merasakan menerima semangat baru apabila tentangan yang diberi dapat disaingi walaupun kelengkapan persenjataan pihak lawan lebih baik. Rancangan dan arahan juga kesetiaan kami tonjolkan dapat menyaingi lawan dengan pergerakan yang teratur. Anehnya masyarakat sekeliling merasakan tidak ada apa yang berlaku mereka tetap bersahaja mengonggong puntung rokok. Keadaan makin rancak dan sempat menyaksikan pengendalian senjata belakang kenderaan hadapan berbalas siulan berapi, akhirnya mengalah mendapat sedikit kecederaan, bagaimanapun tentera Amerika datang membantu. Semangat bagaikan disentap apabila mengetahui kemalangan dialami pasukan, bagaimanapun hanya untuk sementara semangat melawan tetap membara.
20. Semangat dan keberanian saya semakin teruja apabila Platun 3 yang diketuai oleh Leftenan Muda Juraimi bin Ariffin diarahkan terus kehadapan unuk mengambil dan menyelamat tentera Amerika. Kebuntuan timbul apabila kami tidak diberitahu lokasi, seolah bergerak menjadi satu umpan kepada pihak lawan. Sangkaan saya tetap betul, kami ditembak bertalu-talu berbagai arah, sebagai seorang pemandu berpengalaman tanpa diarah kami sepantas kilat berpusing untuk berundur.
21. Bagaimanapun Platun 3 diarah kembali menjalankan misi menyelamat setelah kedudukan pasukan Amerika dapat dipastikan. Seakan tidak peduli risiko yang akan dialami kami memecut laju kearah yang ditujui dan sepantas yang boleh kami bergerak berundur. Kepantasan dan kecekapan kami tersekat apabila kenderaan beberapa kali gagal untuk bergerak, saya mula merasakan sesuatu yang tidak kena apatah lagi tentera amerika mengharapkan perkara yang baik berlaku.
22. Hari semakin cerah tembakan tak henti-henti bagaikan mendapat rahmat saya mengetahui kesilapannya secara tidak sedar kenderaan panduan saya telah melebihi muatan dan bergerak mendaki bukit tidak sesuai untuk pergerakan awal kenderaan dengan gear 3 seperti lazim dengan memasuki gear yang paling rendah, saya berjaya memandu ke kawasan selamat.
23. Apa yang merasakan saya berbangga dan megah tidak putu-putus, saya mendapat pujian dari rakan dari Amerika berjaya membawa mereka dengan selamat. Kejayaan dan merasa bangga tidak boleh dinafikan penglibatan MALBAT khususnya saya salah seorang penyumbang kegemilangan.dan kepercayaan yang diberi oleh Tentera darat juga kerajaan Malaysia tidak dipersiakan malah kegagahan tentera kita membuka mata dunia.
PANDANGAN DARI SUDUT SEORANG CREWMAN
24. Setelah apa yang berlaku dan dilalui juga pengalaman yang diperolehi banyak membantu.untuk meningkatkan tahap professionalisma tentera kita. Meskipun kita tidak meletakkan kepercayaan sepenuhnya, pengunaan kenderaan A seperti kelengkapan, keupayaan tetapi dengan berbekalkan disiplin, pengalaman mengendalikan, kepantasan dan berfikiran tajam menonjolkan keupayaan kenderaan tersebut. Pada hakikatnya kita mengetahui kebolehan sebenar.
25. Sememangnya kita mengetahui kelengkapan kenderaan tempur tidak mempunyai pengunaan alat pandang malam terutama APC RPZ Condor 4 x 4 menjadi masalah yang besar. Penggunaan peralatan yang tidak bersesuaian boleh menganggu tumpuan penggendalian dan perlaksanaan tugas iaitu pemandu mengunakan alat pandang malam anggota tempur. Keduanya kita tidak dilatih secukupnya mengendali dan mengunakan peralatan itu, pelaksanaan tugasan malam seperti pemerhatian menampakkan kegagalan. Kesesuaian kenderaan dengan bentuk muka bumi haruslah diambil kira, kita tidak boleh beranggapan boleh pakai sahaja.
26. Seharusnya kenderaan itu mestilah ditingkatkan keupayaannya selaras memikul tugas yang besar, ketahanan dan kemampuan kenderaan menghadapi apa jua keadaan cuaca dan bentuk muka bumi. Pertukaran alat ganti kenderaan turut membebankan ini membolehkan kelicinan rancangan terganggu. Keperluan kenderaan tempur simpanan sememangnya perlu sebagai menampung keperluan operasi. Ciri-ciri keselamatan tiada seperti laser amaran perlu ada.
27. Sistem persenjataan pada kenderaan tempur sememangnya amat jauh ketinggalan apalah ada pada twin 7.62mm lebih banyak digunakan sebagai membalas sahutan tembakan musuh yang mengunakan senjata berkaliber lebih besar, kekurangan dan penggunaan terhad senjata 20mm Orlinkon (AKK) ternyata gagal menyaingi kehabatan musuh. Tugas penguatkuasaan seperti rondaan boleh mengundang kemalangan kerana kawasan yang terhad perlu diawasi memakan masa yang lama, ini amat meletihkan tumpuan pemanduan menjadi tidak konsisten.
28. Bagaimanapun pentingnya adalah arahan, rancangan dan keserasian antara crewman tersebut. Taklimat harus diberi dengan betul dan mudah difahami, ini membolehkan pemandu dan Ketua Kereta memikir dan merancang apa yang bakal berlaku. Seharusnya bantuan tembakan dari Kereta Kebal dapat membantu memusnahkan sasaran atau halangan sebagai pengiring hadapan. Penggunaan senjata Anti Kereta Kebal (AKK) ringan amatlah penting pada operasi-operasi FIBUA keberkesanan amatlah baik.
PENUTUP
29. Dalam pertempuran yang berlaku selama lima jam itu, anggota MALBAT mengalami seorang kehilangan jiwa dan sepuluh anggota tercedera (termasuk 4 cedera parah). Angka terkorban dan kecederaan telah membuktikan bahawa kita cukup terlatih, berdisplin dan sentiasa bersedia di mana saja digerakkan walaupun bergabung dengan tentera asing. Ini juga membuktikan kemampuan Tentera Darat. Kita mempunyai kekuatan mental, fizikal dan siap siaga yang baik terkenal di mata antarabangsa.
Esei ini dari pengalaman seorang pemandu APC Condor SSjn Sulaiman bin Barry PJK, yang terlibat secara langsung pertempuran BAKARA Market pada 13 Okt 1993.
Terima kasih juga kpd: PanggilanPertiwi