Sisa jenazah 21 Iban Trackers dibawa oleh pegawai ATM |
Sesuatu yang didalam simpanan...harus aku lepaskan juga. Disebabkan masa tu aku agak sibuk, jadi akutaksempat nak "lepaskan" entri ni. Cuma sempat "tangkap" pas tu simpan dalam draft. Rasa terharu sebab pihak kerajaan sanggup membawa pulang kembali jenazah 21 anggota Iban Trackers ke kampung halaman mereka di Sarawak. Semoga pengorbanan mereka tidak disia2kan dan menjadi satu contoh tauladan buat generasi masa depan.
kredit kpd blog PGB Warrior |
kredit kpd blog PGB Warrior |
KUALA LUMPUR, 24 Julai -- Pada Selasa 26 Julai, rasa sedih pasti menyelubungi bandar raya Kuching yang akan menyambut kepulangan wira anak bangsanya.
Pada hari itu, sisa rangka 21 wira pengesan jejak dan renjer Sarawak kaum Iban yang telah menggadaikan nyawa demi mempertahankan negara diterbangkan dari Kuala Lumpur ke ibu negeri Sarawak untuk dikebumikan semula, satu kemuncak usaha bertahun-tahun yang dilakukan untuk memindahkan kubur para pejuang itu.
Para pejuang negara ini terkorban semasa bertugas dalam pasukan tentera British pada zaman Darurat Malaya (1948-1960), yang diisytiharkan untuk menentang gerila komunis, di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dan Singapura.
Upacara traditional dijalankan sempena menyambut pahlawan |
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menerbangkan sisa rangka para wira berkenaan, yang diletakkan di dalam 21 tempayan atau tajau suci bagi masyarakat Iban, ke Kuching dalam satu operasi yang dinamakan "Mai Pulai", bahasa Iban bermaksud "bawa pulang", dan melibatkan beberapa agensi dan jabatan.
Sisa rangka berkenaan digali semula dari kubur asal di Alor Setar, Kedah (satu); Batu Gajah, Perak (dua); Kamunting, Perak (empat); Cheras, Kuala Lumpur (empat); Terendak, Melaka (lapan) dan Kranji, Singapura (dua).
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu berkata pesawat yang membawa tempayan berkenaan dijadual mendarat di pangkalan TUDM di Kuching pada pukul 12.30 tengah hari.
"Dari situ, tempayan-tempayan akan dibawa di Kem Satu Divisyen di sini untuk disimpan sebelum ia dihantar ke tapak perkuburan pada keesokan hari," katanya.
Jabu berkata satu acara khusus bagi menghormati para pejuang bangsa ini akan diadakan sebelum upacara pengkebumian semula diadakan di tanah perkuburan Gereja St Joseph di Kuching, berhampiran Tugu Peringatan Wira Perang Dunia Kedua.
"Sarawak telah berusaha membawa pulang sisa rangka para pejuang ini sejak beberapa tahun lalu. Dan kini, hasrat anggota keluarga para pejuang berkenaan akhirnya menjadi kenyataan," kata beliau.
Satu operasi sebelum ini, yang dinamakan "Ngerapuh", dalam bahasa Iban bermaksud "memindahkan jasad mereka yang telah meninggal dunia" digerakkan selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke kawasan pedalaman Sarawak pada 23 Feb lepas. Najib berjanji akan membantu usaha memindahkan kubur wira berkenaan.
Di Sarawak, satu jawatankuasa peringkat negeri ditubuhkan bagi menguruskan Ops Mai Pulai, yang diketuai Timbalan Setiausaha Negeri II Datu Ose Murang.
Anggota jawatankuasa melibatkan pegawai ibu pejabat Satu Divisyen, Persatuan veteran Sarawak, Jabatan Protokol, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak dan Pejabat Ketua Menteri.
Jabu berkata lima pasukan dibentuk dengan tanggungjawab untuk membawa balik sisa-sisa jasad para pahlawan berkenaan dari Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Melaka dan Singapura.
"Ini sangat bermakna, khususnya kepada para anggota keluarga yang terlibat terutama mereka yang kehilangan bapa, abang, adik atau orang tersayang," katanya dan menambah kata bahawa mereka kini mempunyai peluang untuk melihat kubur anggota keluarga di "kampung halaman" mereka.
Anggota kelima-lima pasukan bergerak ke lima kawasan berkenaan baru-baru ini untuk melakukan urusan terakhir membawa pulang sisa rangka para pejuang berkenaan.
Sebelum fasa terakhir operasi itu, satu upacara 'miring' diadakan sempena Ops Mai Pulai baru-baru ini di Pejabat Majlis Adat Istiadat di Jabatan Ketua Menteri di bangunan Binamas di Kuching memohon restu mendoakan kesejahteraan bagi simati dan kerja-kerja penggalian berjalan lancar.
Jabu berkata 21 tempayan yang dibawa ke Kuala Lumpur untuk menempatkan sisa rangka para wira pengesan jejak dan renjer. Turut diadakan adalah acara 'genselan' (penyembelihan khinzir atau ayam) bagi menghormati simati dan kawasan perkuburan.
Penggalian semula itu perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati dan adat istiadat tradisi dan kepercayaan dengan kerja-kerja penggalian, hanya dilakukan oleh mereka yang benar-benar suci dan mempunyai tangkal azimat, kata Jabu.
Lt Kol (bersara) Robert Rizal Abdullah, seorang daripada aktivis utama usaha-usaha penggalian berkata beliau memperoleh semangat untuk melakukan usaha berkenaan selepas membaca keluhan seorang wanita Sarawak mengenai kubur seorang pengesan jejak berbangsa Iban yang terbiar di tepi sebatang jalan raya di Alor Setar.
"Hati saya amat pedih ketika menatap gambar (kubur pengesan jejak yang terbiar) itu. Saya berjanji akan membawa perkara ini kepada pengetahuan pihak berkuasa tertinggi. Ia menjadi satu misi bagi saya," demikian tulisan Robert Rizal pada laman blognya (pgbwarrior/blogspot.com).
Dalam satu temu bual dengan Bernama kemudian, Robert Rizal, 61, seorang bekas tentera yang berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam operasi berkenaan, berkata kubur di tepi jalan itu adalah milik Prebet Ungkok anak Jugam.
Ia dipindahkan ke tepi jalan di Km4, Jalan Langgar, Alor Setar, apabila lebuh raya dua lorong dibina di situ lebih satu dekad lepas, dengan nisan terletak di tengah-tengah lebuh raya berkenaan.
Kemudian, nisan itu dipindahkan ke tanah perkuburan Gereja St Michael di Alor Setar, pada April 2009.
Robert Rizal, yang sebelum ini dikenali sebagai Robert Madang Langi, ialah seorang pahlawan Iban dan merupakan penerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kerana kehebatannya bertempur menentang pengganas komunis pada 1973. Beliau berkhidmat dalam pasukan tentera selama 25 tahun.
Beliau berkata ramai askar Iban memainkan peranan sebagai pengesan jejak untuk membantu pasukan tentera Komanwel dalam perang menentang pengganas komunis.
Robert Rizal berkata kumpulan pertama 49 pengesan jejak Dayak dihantar ke Malaya pada 8 Ogos 1948, enam minggu selepas pengisytiharan darurat dan kerajaan penjajah Sarawak ketika itu memberi maklum balas untuk membantu menentang komunis di Malaya. Mereka berkhidmat sebagai anggota trup di beberapa unit tentera selama tiga bulan secara kontrak.
Menjelang akhir 1952, terdapat 380 pengesan jejak Dayak berkhidmat di pelbagai unit tentera di Malaya. Mereka kemuduan dihimpunkan sebagai askar dalam dua platun dinamakan Renjer Sarawak pada 1953, dan kini dikenali sebagai Regimen Renjer Diraja.
"Dalam tempoh 12 tahun (1948-1960) berjuang, 21 daripadanya terkorban semasa bertugas dan 25 lagi cedera. Seorang daripada mereka Awang anak Rawing, hanya memperoleh anugerah George Cross (yang diberikan kerana semangat keberanian dan kepahlawanan) semasa zaman Darurat, anugerah masyarakat awam Victoria Cross yang setaraf dengan PGB.
Sebagai menghargai usaha dan sumbangannya, Robert Rizal (owner blog PGB Warrior) diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan ringkas pada istiadat pengkebumian semula sisa rangka para pejuang berkenaan pada Rabu.
Ditanya apakah yang akan beliau ucapkan, wira negara itu berkata beliau berharap dapat membacakan sebuah sajak yang ditulis khusus bagi upacara itu.
"Ia akan menjadi suatu detik yang amat menyentuh perasaan bagi kebanyakan kita tetapi apa yang saya mungkin nyatakan adalah, 'selepas 60 tahun dalam satu kehidupan abadi, anda (para 21 wira pengesan jejak dan renjer Sarawak kaum Iban) akhirnya kembali pulang ke kampung halaman untuk bersemadi'."
Senarai nama pejuang yang terlibat dlm misi pemindahan ini.
- Ungkok Anak Jugam,
- FF/829 Jaweng Anak Jugah,
- 900506 Unggat Anak Ujom,
- 900172 Ugap Anak Utut,
- 900601 Letan Anak Kusing,
- 900665 Nyambik Anak Pasang,
- 900815 Kumpang Anak Tinggi,
- FF/253 Bulan Anak Kasau,
- FF/1254 Kelambu Anak Gadung,
- FF/575 Untang Anak Engan,
- Rejap Anak Bagi,
- FF/825 Entap Anak Tulu,
- FF/1083 Nyantau Anak Juna,
- Manit Anak Cheling,
- Nyaru Anak Talap,
- Mat Anak Akit,
- Empati Anak Dugu,
- Adrain Anak Tandang,
- BS Utot Anak Tanggang,
- 900557 Dampi Anak Berain
- 900441 Janggak Anak Ingkoi.
Kepulangan yg disambut dgn tangisan.... |
1. Sumber Bernama dan http://pgbwarrior.blogspot.com/2011/07/home-at-last-after-60-long-years.html
2. http://lamiafamilia-ajai62.blogspot.com/2011/07/rangka-21-pejuang-iban-kembali-ke-tanah.html
3. http://lapadeh.com/sudut-iban/21-iban-trackers-finally-home-dalam-operasi-mai-pulai/
4. http://www.theborneopost.com/2011/07/27/kepulangan-wira-disambut-pilu-kesemua-21-rangka-iban-trackers-dan-s%E2%80%99wak-rangers-disemadikan-pada-jam-4-petang-ini/